Akta Baharu MARA 2026 Langkah Perkasa Tadbir Urus – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh tadbir urus dan tatakelola kewangan bagi memastikan institusi itu kekal berdaya tahan serta mampu melaksanakan amanah pembangunan pendidikan dan keusahawanan Melayu dan Bumiputera.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tanggungjawab MARA jauh lebih besar daripada hanya mengurus kebajikan kira-kira 45,000 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sebaliknya melibatkan hampir 225,000 pelajar dalam keseluruhan ekosistem pendidikan MARA.

Katanya, jumlah itu merangkumi pelajar TVETMARA, GiatMARA, Kolej MARA (KM), Kolej Profesional MARA (KPM), German-Malaysian Institute (GMI), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta pelajar tajaan dalam dan luar negara.

“Ini baru sektor pendidikan MARA. Belum lagi sektor keusahawanan yang melibatkan lebih 500,000 penerima manfaat, termasuk mereka yang menyewa lebih 6,800 premis MARA serta menerima pelbagai bentuk pinjaman, geran dan bantuan pembiayaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, MARA turut melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan termasuk PROsPec yang melibatkan rangkaian 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi dan UniDental di seluruh negara.

Selain itu, katanya, program ProTech turut menyediakan peluang kepada usahawan dalam bidang berkemahiran tinggi seperti solar, automotif, pendingin udara dan elektronik.

Dalam sektor pelaburan pula, Dr Asyraf Wajdi berkata MARA mempunyai lebih 13 anak syarikat di bawah MARA Corporation yang menjalankan pelbagai aktiviti pelaburan bagi menjana pendapatan dan memberikan pulangan kepada MARA.

Katanya, Pelaburan MARA Berhad turut menguruskan pelaburan termasuk unit amanah bagi memastikan kepentingan pemegang saham dan institusi terus terpelihara.

“Secara keseluruhan, aset di bawah seliaan MARA bernilai kira-kira RM23 bilion. Sebarang bentuk penyelewengan dan penyimpangan pasti akan menjejaskan mandat serta amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada MARA untuk orang Melayu dan Bumiputera.”

Justeru kata Dr Asyraf Wajdi, ketika dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 10 Mac 2023, antara tindakan pertama yang diambil ialah menubuhkan Pasukan Khas bagi menilai serta memperbaiki tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan MARA.

Ujarnya, pasukan khas berkenaan diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Menurut beliau, langkah itu diambil susulan pelbagai maklum balas berkaitan kelemahan tadbir urus MARA yang berlaku sebelum ini. Antaranya:

1. Pembelian aset luar negara di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 hingga menyebabkan anak syarikat MARA Corp. iaitu MARA Inc mengalami kerugian terkumpul RM286.30 juta dari 2012 hingga 2022.

2. Isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan (The Red Warriors/TRW) antara kontroversi tadbir urus MARA yang besar sekitar 2016–2017 hingga membawa kepada penggantungan Pengerusi MARA ketika itu.

3. Kerugian-kerugian yang melibatkan jutaan ringgit daripada pelbagai projek di bawah MARA yang tiada siapa dipertanggungjawabkan.

4. Kutipan hutang pinjaman yang tidak diuruskan dengan baik dan teratur.

5. Isu kartel-kartel yang menguasai tender-tender perolehan MARA seperti tender makanan yang bernilai puluhan juta.

“Banyak lagi isu yang semuanya terkait dengan kelemahan struktur asas tadbir urus institusi dan tatakelola yang lemah,” katanya.

Dr Asyraf Wajdi berkata, kemuncak kepada segala inisiatif memperkemaskan sistem tadbir urus ini ialah cadangan penggubalan Akta Baharu MARA 2026 untuk menggantikan akta lama iaitu Akta MARA 1966. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO