Bantuan Pendidikan UMNO Lahad Datu Diteruskan, Bela Nasib Pelajar
LAHAD DATU, 17 Ogos – Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat khususnya golongan pelajar terus menjadi keutamaan UMNO Bahagian Lahad Datu apabila menyampaikan bantuan kewangan kepada anak-anak yang bakal meneruskan pengajian ke peringkat universiti.
Ketua UMNO Bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul, berkata bantuan pendidikan yang dilaksanakan secara berterusan itu telah memasuki tahun ketiga dan sehingga kini memberi manfaat kepada lebih 17,000 pelajar di seluruh negara.
Menurut beliau, usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu meringankan beban keluarga, terutama ketika kos sara hidup semakin mencabar.

“Pendidikan adalah pelaburan masa depan anak-anak kita. Bantuan seperti ini diharapkan dapat memberi semangat kepada para pelajar untuk terus melangkah maju dan mengejar kejayaan tanpa dibelenggu kekangan kewangan,” katanya.
Antara penerima bantuan kewangan terbaharu ialah Roslimen Muhd Khairul apabila anaknya bakal mengikuti Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Unitar International Alam Mesra; anak kepada Siti Britney Affanfi, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang akan menyertai kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya; serta anak kepada Nur Zaqieah Irfieyana Muhammar Nazir yang melanjutkan pengajian Diploma Sains di UiTM Kota Kinabalu.
Dalam pertemuan bersama penerima bantuan dan keluarga, Sharif Musa memaklumkan beberapa ibu bapa turut menyuarakan kebimbangan mengenai kos penerbangan yang tinggi, khususnya bagi pelajar Sabah yang perlu berulang-alik ke Semenanjung.
Ujarnya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana kos perjalanan udara yang mahal boleh memberi tekanan kepada keluarga, terutama ibu bapa yang mempunyai anak sedang melanjutkan pengajian di luar negeri.
“Permintaan ibu bapa ini adalah perkara yang wajar dipertimbangkan. Pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung berdepan cabaran kos penerbangan yang tinggi, dan usaha untuk mencari penyelesaian amat penting supaya peluang pendidikan tidak terjejas,” katanya.
Beliau turut menyeru agar isu harga tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung mendapat perhatian serius kerajaan demi kepentingan rakyat, khususnya golongan pelajar dan keluarga berpendapatan sederhana serta rendah.

Pada kesempatan sama, Sharif Musa turut menyampaikan sumbangan 50 kilogram beras serta bantuan wang tunai kepada ibu Allahyarham Jaffry Eting, ahli UMNO Cawangan Singgah Mata 4 yang telah kembali ke rahmatullah.
“Setiap bantuan yang disampaikan mungkin kecil nilainya, tetapi besar maknanya kepada keluarga yang memerlukan. Kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya.
Beliau juga menegaskan UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus memainkan peranan dalam membantu masyarakat serta memastikan suara rakyat, termasuk isu pendidikan dan kos sara hidup, terus diberi perhatian. – UMNO Online
