Azalina Bersama Rakyat Pengerang, Inisiatif Kebajikan Diperkasa

PENGERANG, 17 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said meneruskan komitmen mendekati rakyat apabila meluangkan masa hujung minggu termasuk menziarahi beberapa keluarga di Kampung Tanjung Serindit yang menerima Sumbangan Baik Pulih Rumah Asnaf Parlimen Pengerang 2026.

Lawatan tersebut memberi peluang kepada beliau selaku Ahli Parlimen Pengerang melihat sendiri keadaan kediaman penerima serta perkembangan kerja-kerja baik pulih yang sedang dilaksanakan bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan keluarga terlibat.

Menurut Azalina, usaha berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban keluarga asnaf serta memberikan mereka kediaman yang lebih baik dan selesa untuk menjalani kehidupan seharian.

“Semoga usaha ini dapat meringankan beban keluarga-keluarga yang terlibat dan memberikan mereka kediaman yang lebih baik untuk menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Dalam program berasingan, Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Cermin Mata Percuma Program Terang Parlimen Pengerang 2026 di FELDA Papan Timur.

Melalui program itu, warga setempat yang memerlukan cermin mata menerima bantuan tersebut secara percuma bagi membantu mereka menjalani rutin harian dengan lebih selesa dan jelas.

“Semoga sumbangan kecil ini dapat memberi manfaat dan membantu meningkatkan kualiti hidup semua penerima,” ujarnya.

Selain itu, Azalina turut meluangkan masa meninjau operasi Kaunter Bergerak Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pengerang di SKS Mall Desaru, iaitu sebuah inisiatif bagi memudahkan warga setempat mengemukakan aduan, mendapatkan bantuan serta berurusan dengan Pusat Khidmat berkenaan.

Kesempatan tersebut turut dimanfaatkan untuk beliau beramah mesra bersama warga Pengerang selain menyampaikan baju bertulis #AkuBudakPengerang sebagai simbol identiti dan kebersamaan masyarakat setempat.

“Inilah bukan sekadar sehelai baju, tetapi satu tanda bahawa walau dari kampung, taman atau latar belakang yang berbeza, kita semua berkongsi satu identiti dan rasa kebersamaan yang sama sebagai warga Pengerang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO