Jangan Jadi ‘Buta Kuasa’, MARA Bukan Gelanggang Politik – Saifullah Ali

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Saifullah Ali menempelak cadangan perwakilan Parti Keadilan Nasional (PKR) dari Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris pada Kongres Nasional Keadilan yang menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pertukaran Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), sambil menyifatkannya sebagai kenyataan yang memperlihatkan seolah-olah beliau “baru belajar politik”.

Menurutnya, cadangan tersebut bukan sahaja tersasar daripada struktur pentadbiran kerajaan, malah menimbulkan persoalan sama ada benar-benar memahami bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab terhadap sesebuah agensi.

“Jangan buat-buat tidak tahu. MARA ialah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang diterajui Menterinya merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi, kalau soal pertukaran Pengerusi MARA hendak dibangkitkan, perkara itu sepatutnya dikemukakan kepada Menteri yang menjaga kementerian berkenaan, bukannya terus menuding jari kepada Perdana Menteri,” katanya kepada UMNO Online.

Saifullah menegaskan, pelantikan atau pertukaran pengerusi agensi di bawah sesebuah kementerian perlu dilihat dalam konteks bidang kuasa dan tatakelola kerajaan, bukannya dijadikan modal politik untuk mencetuskan persepsi seolah-olah Perdana Menteri perlu campur tangan dalam setiap urusan agensi.

“Kalau agensi di bawah KKDW, maka menteri yang bertanggungjawab mempunyai peranan dalam perkara tersebut. Sama juga prinsipnya dengan agensi yang berada di bawah kementerian lain.

“Jangan kerana mahu mencari publisiti politik, perkara asas dalam struktur kerajaan pun mahu diputarbelitkan,” jelasnya.

Saifullah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh, mempertahankan rekod Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sepanjang menerajui MARA dengan menyifatkan pelbagai perubahan yang dilaksanakan sebagai bukti bahawa beliau bukan sekadar memegang jawatan, tetapi bekerja membawa pembaharuan.

“Dr Asyraf sudah membuktikan banyak jasa dan melakukan perubahan sepanjang menerajui MARA. Jadi, kalau ada kritikan, kemukakan dengan fakta. Jangan bercakap seolah-olah tidak memahami bagaimana kerajaan berfungsi.

“Kalau mahu menilai seseorang, nilailah berdasarkan prestasi dan hasil kerja, bukan dengan membuat cadangan rambang dari luar bidang kuasa,” katanya lagi.

Saifullah turut mengingatkan bahawa MARA bukan gelanggang untuk mana-mana pihak bermain tarik tali politik sesuka hati kerana ia melibatkan kepentingan pendidikan, pembangunan usahawan dan masa depan Bumiputera.

“Rakyat mahu lihat MARA terus diperkukuhkan, bukan dijadikan bahan permainan politik. Kalau benar mahu memperbaiki MARA, datang dengan cadangan yang bernas dan berfakta, bukan dengan kenyataan yang jelas tersasar daripada bidang kuasa.

“Jangan sampai rakyat melihat cadangan sebegini hanya bertujuan mencipta kontroversi, sedangkan struktur pentadbiran kerajaan pun tidak difahami,” ujarnya.

Dalam masa sama, Saifullah turut mempersoalkan sikap PH yang dilihat gemar membangkitkan isu Tabung Haji, tetapi seolah-olah cuba melupakan rekod tindakan kerajaan PH ketika mentadbir negara menerusi PH 1.0.

“PH pernah terlibat dalam urusan penjualan aset Tabung Haji dan aset-aset lain ketika mereka menjadi kerajaan PH 1.0.

“Jadi janganlah sekarang tampil seolah-olah mereka paling bersih, paling prihatin dan paling hebat mempertahankan Tabung Haji, sedangkan rekod serta keputusan yang dibuat ketika mereka berkuasa juga wajar dipersoalkan.

“Jangan hanya pandai bercakap tentang aset Tabung Haji apabila mahu menyerang UMNO dan BN. Kita mahu PH jawab juga apa yang mereka lakukan ketika PH 1.0,” jelasnya lagi.

Tambah Saifullah, persoalan yang lebih besar ialah mengapa PH hanya mahu menuding jari kepada pihak lain tanpa terlebih dahulu menjelaskan secara terbuka keputusan dan rasional di sebalik tindakan mereka ketika menjadi kerajaan.

“Kalau mahu ketelusan, biarlah ketelusan itu menyeluruh. Kalau mahu akauntabiliti, semua kerajaan dan semua keputusan mesti dilihat dengan neraca yang sama.

“Jangan jadikan Tabung Haji sebagai modal politik murahan. Pendeposit berhak mendapat fakta yang lengkap, bukan cerita yang dipilih-pilih mengikut kepentingan parti,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO