Gerik Ada Potensi Besar, Anak Muda Dan Usahawan Tempatan Perlu Terus Diperkasa

GERIK, 16 Ogos – Gerik mempunyai potensi besar untuk terus berkembang menerusi penglibatan aktif golongan muda dan usahawan tempatan yang mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkembangan tersebut jelas dapat dilihat menerusi penglibatan anak-anak muda dan usahawan tempatan yang berani mengetengahkan bakat, kreativiti serta produk masing-masing.

Beliau berkata, ruang dan peluang yang disediakan kepada golongan berkenaan perlu terus diperkasa supaya potensi mereka dapat dikembangkan, sekali gus memberi sumbangan lebih besar kepada masyarakat dan ekonomi setempat.

“Seronok melihat anak-anak muda dan usahawan tempatan mengambil peluang menampilkan bakat, kreativiti dan produk masing-masing,” katanya ketika hadir ke Program Gerik Lokal Fest di Hentian Bas Gerik, di sini.

Program tersebut turut menghimpunkan usahawan tempatan dan pengunjung selain menyaksikan Kejohanan E-Sport Mobile Legends yang memberi ruang kepada golongan muda menampilkan bakat serta kreativiti mereka.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata hubungan erat bersama masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap keperluan, pandangan dan aspirasi komuniti setempat dapat difahami dengan lebih dekat.

Menurut beliau, pendekatan turun padang secara berterusan bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah membuka lebih banyak ruang kerjasama antara kepimpinan, masyarakat, golongan muda dan usahawan tempatan.

“Semoga ukhuwah kita terus berkekalan dan diberi kekuatan untuk bersama-sama bangunkan Gerik,” katanya.

Beliau sebelum itu meluangkan masa seharian di DUN Pengkalan Hulu dan DUN Temengor dengan menyantuni masyarakat menerusi pelbagai program termasuk Ziarah Prihatin, program kesihatan, aktiviti bersama komuniti serta pertemuan dengan penduduk setempat.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO