Kerajaan Negeri Pahang Komited Perkasa Ekosistem Ekonomi
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk terus memperkasa ekosistem ekonomi negeri yang melibatkan pelbagai sektor, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan telah menghadiri Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Pahang Tahun 2026 (MAGKP’26) pada Khamis.

“Malam tadi saya menghadiri MAGKP’26 yang telah berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. Syabas dan tahniah kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang atas penganjuran majlis ini, khususnya dalam menghargai sumbangan, komitmen dan kejayaan warga gerakan koperasi di Negeri Pahang.
“Gerakan koperasi hari ini telah berkembang sebagai antara kekuatan penting dalam pembangunan ekonomi negeri, melibatkan pelbagai sektor termasuk perladangan, pertanian, perkhidmatan, peruncitan dan bidang keusahawanan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar gerakan koperasi di Negeri Pahang menjadi antara pemacu penting dalam membina ekonomi negeri.

“Seiring dengan Aspirasi Pahang 1st, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasa ekosistem ekonomi yang mampu membuka lebih banyak peluang, meningkatkan pendapatan serta mewujudkan manfaat meluas kepada rakyat.
“Semoga gerakan koperasi di Pahang akan terus melangkah lebih jauh, inovatif dan berdaya saing, sekaligus menjadi antara pemacu penting dalam membina ekonomi negeri yang kukuh dan mampan,” katanya lagi. – UMNO Online
