Waspada Sinaran UV, Jaga Diri Dan Keluarga
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap pendedahan kepada sinaran ultraungu (UV), khususnya ketika melakukan aktiviti di luar antara jam 11 pagi hingga 4 petang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, nasihat itu selari dengan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) terhadap keamatan sinaran UV ketika negara sedang melalui Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September ini.
“Dalam keadaan cuaca yang lebih panas, kurang hujan dan langit yang lebih cerah, orang ramai perlu lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di luar, khususnya antara jam 11 pagi hingga 4 petang apabila sinaran UV lazimnya mencapai tahap maksimum,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, lapisan ozon merupakan pelindung semula jadi Bumi daripada sinaran UV Matahari, namun tahap sinaran UV yang sampai ke permukaan turut dipengaruhi beberapa faktor termasuk kedudukan matahari, litupan awan, kandungan ozon dan keadaan atmosfera semasa.
Ahmad Zahid berkata, orang ramai boleh mengambil beberapa langkah mudah bagi mengurangkan risiko akibat pendedahan berlebihan kepada sinaran UV.
Antaranya termasuk mengurangkan aktiviti luar pada waktu puncak, menggunakan pelindung matahari dengan SPF 30 atau lebih, memakai pakaian bersesuaian, topi serta cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan UV.
“Jika perlu berada di luar, berteduh atau berada di kawasan berbumbung dan pastikan pengambilan air yang mencukupi, terutama ketika cuaca panas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya perhatian lebih diberikan kepada golongan kanak-kanak, warga emas serta mereka yang bekerja atau menghabiskan banyak masa di luar bangunan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa suhu yang panas tidak semestinya bermaksud Indeks UV berada pada tahap tinggi kerana kedua-duanya tidak mempunyai hubungan secara langsung.
“Satu perkara yang perlu kita fahami, suhu yang panas tidak semestinya bermaksud Indeks UV tinggi kerana kedua-duanya tidak mempunyai hubungan secara langsung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keadaan semasa serta mengikuti maklumat dan nasihat yang dikeluarkan oleh MET Malaysia.
“Jaga diri, jaga keluarga dan jangan ambil mudah apabila berada terlalu lama di bawah sinaran matahari,” katanya lagi. – UMNO Online
