Penyelarasan Agenda KUSKOP Demi Manfaat Usahawan, Komuniti – Mohamad Alamin

KOTA KINABALU, 13 Ogos — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan di Sabah menerusi penyelarasan strategik bersama agensi-agensi di bawah kementerian itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin telah mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi KUSKOP di Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kota Kinabalu bagi menyelaras beberapa agenda dan program yang bakal dilaksanakan di negeri ini.

Katanya, antara fokus utama perbincangan ialah persiapan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah, yang bakal menghimpunkan usahawan, agensi serta pelbagai inisiatif sokongan keusahawanan.

“Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah yang bakal menghimpunkan usahawan, agensi dan pelbagai inisiatif sokongan keusahawanan dalam usaha membuka lebih banyak peluang pasaran, jaringan perniagaan dan akses kepada sokongan pembiayaan.

“Perbincangan turut memberi perhatian kepada cadangan pelaksanaan Program Semarak Haflah Al-Quran Usahawan Ummah di Membakut, yang menggabungkan pengisian kerohanian dengan perkongsian berkaitan keusahawanan dan pengurusan kewangan berteraskan nilai-nilai al-Quran.

“Kedua-dua agenda ini mencerminkan pendekatan yang saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan, di samping memperkasa masyarakat melalui penguasaan ilmu, nilai integriti dan budaya keusahawanan yang mampan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Mohamad Alamin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut menekankan kepentingan penyelarasan antara agensi supaya setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara bersepadu, berimpak tinggi dan benar-benar memenuhi keperluan semasa usahawan serta komuniti di Sabah.

“Perbincangan ini turut memberi tumpuan kepada penyelarasan strategik antara agensi bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara bersepadu, berimpak dan selari dengan keperluan semasa usahawan serta komuniti di Sabah.

“Insya-Allah, usaha ini akan terus diperkasakan ke arah merealisasikan visi KUSKOP untuk membina ekosistem keusahawanan yang progresif, inklusif dan mampan, seterusnya memperkukuh daya saing serta kesejahteraan usahawan dan rakyat,” jelasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO