RCI TH: BN Tegas Sokong Ketelusan, Tiada Apa Hendak Disembunyikan
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kira-kira 10 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH), berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan institusi berkenaan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, berkata pendirian BN kekal jelas dan konsisten dengan menghormati proses institusi negara serta memastikan kepentingan pendeposit terus menjadi keutamaan.
Beliau berkata pembentangan dan perbahasan khas laporan RCI di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu membuktikan bahawa proses ketelusan telah dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.

Menurutnya, laporan berkenaan telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka di Parlimen dan diberikan ruang untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“RCI ialah mekanisme yang diwujudkan di bawah undang-undang negara bagi menyiasat isu yang mempunyai kepentingan awam. Oleh itu, laporan tersebut perlu diteliti secara objektif berdasarkan fakta dan bukti, bukannya dijadikan bahan penghukuman politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, perbahasan di Dewan Rakyat turut mengesahkan bahawa RCI berkenaan memberi fokus kepada tempoh 2014 hingga 2020.
Sehubungan itu, katanya, penelitian mengenai tadbir urus TH wajar diperluaskan dengan mengambil kira keseluruhan sejarah institusi berkenaan, termasuk perkembangan dan keputusan selepas 2020.
Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah peranan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini.
“Adalah wajar satu penelitian yang menyeluruh dibuat terhadap keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji agar segala perkembangan, keputusan dan perubahan institusi dapat dinilai dalam konteks yang lengkap,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata dapatan RCI yang menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi serta mekanisme semak dan imbang perlu dijadikan asas untuk memperkukuh institusi TH.
Katanya, perkara tersebut tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut keuntungan politik jangka pendek.
“BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata pengukuhan institusi TH penting bagi memastikan amanah yang diberikan oleh pendeposit terus diurus dengan penuh integriti, profesionalisme dan ketelusan.
Zambry turut mengingatkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sejak awal telah menyatakan sokongan supaya laporan RCI didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas.
Malah, katanya, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang dilaksanakan benar-benar menyeluruh.
“Ini menunjukkan bahawa BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu Tabung Haji.
“Sebaliknya, pendirian BN adalah supaya perkara ini ditangani melalui proses institusi yang sah, berasaskan fakta dan dengan mengambil kira kepentingan pendeposit,” katanya.
Zambry berkata TH bukan sekadar sebuah entiti kewangan, sebaliknya merupakan institusi umat Islam yang mempunyai amanah besar dalam mengurus simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji.
Justeru, beliau menyeru semua pihak supaya bertanggungjawab dalam membincangkan isu berkaitan TH dan mengelakkan tuduhan melulu atau penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai.
Katanya, sebarang naratif yang tidak berasaskan fakta juga boleh menjejaskan keyakinan pendeposit dan perlu dielakkan.
“Semua pihak perlu mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai serta naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab,” katanya.
Mengulas perkembangan selepas pembentangan laporan RCI, Zambry berkata sidang khas Parlimen telah membuka ruang yang luas untuk penelitian awam terhadap laporan berkenaan.
“Ketelusan telah dilaksanakan. Perbahasan telah berlangsung. Transformasi sedang berjalan. Maka, fokus selepas ini bukan lagi untuk menimbulkan persepsi bahawa ada pihak yang cuba menyembunyikan sesuatu, tetapi untuk memastikan tadbir urus Tabung Haji terus diperkukuh, syor-syor penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya dan keyakinan pendeposit serta umat Islam terhadap institusi Tabung Haji terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata BN akan terus menyokong usaha memperkukuh TH sebagai sebuah institusi yang amanah, berdaya tahan dan mempunyai tadbir urus yang kukuh demi kepentingan pendeposit serta umat Islam secara keseluruhannya. – UMNO Online
