Program Saling Mengasihi UMNO Lahad Datu Terus Bersama Rakyat
LAHAD DATU, 13 Ogos – Program Saling Mengasihi UMNO Bahagian Lahad Datu terus diperkasakan sebagai manifestasi keprihatinan parti terhadap nasib rakyat, khususnya golongan yang berdepan kesukaran serta memerlukan bantuan.
Ketua UMNO Bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul, bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Lahad Datu turun padang menyantuni penerima bantuan dengan menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan secara terus ke rumah mereka.
Dalam satu kunjungan baru-baru ini, turut diziarahi ialah ayah kepada Ketua Cawangan Kg. Unta, Lutuha Salleh, yang sedang mengalami masalah kesihatan.

Selain sumbangan wang tunai, sebuah katil perubatan elektrik (electric medical bed) turut disumbangkan bagi membantu meningkatkan keselesaan serta memudahkan urusan penjagaan beliau.
“Bagi kami, perjuangan bukan sekadar berbicara, tetapi turun padang, mendengar rintihan rakyat dan membantu sedaya yang termampu. Inilah semangat Program Saling Mengasihi yang kami laksanakan secara berterusan,” kata Sharif Musa yang terus komited melaksanakan khidmat bakti.
Ujarnya, program berkenaan turut menyampaikan bakul makanan kepada pemohon yang terdiri daripada Ketua-Ketua Cawangan UMNO bagi disalurkan kepada ahli parti dan mereka yang benar-benar memerlukan.
Lebih membanggakan katanya, Program Saling Mengasihi yang telah dilaksanakan selama lebih tiga tahun itu kini telah memberi manfaat kepada lebih 28,000 penerima, membuktikan komitmen UMNO Bahagian Lahad Datu untuk terus berada dekat dengan denyut nadi masyarakat.
Menurut Sharif Musa, bantuan yang disampaikan mungkin kelihatan sederhana, namun ia amat bermakna kepada keluarga yang sedang berdepan tekanan kehidupan.
“Kita mahu rakyat merasakan bahawa mereka tidak bersendirian. Setiap permohonan akan kita lihat dan kita cuba bantu mengikut kemampuan. Apa yang penting, kita hadir, kita dengar dan kita lakukan sesuatu untuk meringankan beban mereka.”

Beliau berkata, pendekatan turun padang itu akan terus menjadi antara keutamaan UMNO Bahagian Lahad Datu dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian.
“Program Saling Mengasihi juga mencerminkan semangat kebersamaan antara kepimpinan bahagian, Ketua-Ketua Cawangan dan anggota akar umbi dalam mengenal pasti golongan yang memerlukan serta memastikan bantuan dapat disampaikan secara terus kepada penerima.”
Sharif Musa turut berharap agar setiap sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak meringankan beban kehidupan penerima dan keluarga, selain menjadi amal kebajikan yang mendapat keberkatan daripada Allah SWT. – UMNO Online
