KePKAS Perkukuh Tindakan Pastikan Pelancongan Sabah Kekal Berdaya Saing

KOTA KINABALU, 13 Ogos – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ketua UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin, menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh sektor pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Sabah menjelang Visit Sabah 2027.

Beliau berkata demikian selepas selesai menghadiri Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) yang turut membincangkan perkembangan terkini jabatan serta agensi di bawah kementerian berkenaan.

Menurut Jafry, beberapa isu penting yang mempunyai kaitan langsung dengan kelangsungan serta daya saing industri pelancongan Sabah turut diberi perhatian dalam mesyuarat tersebut.

“Antara perkara yang diberi perhatian ialah isu tambang penerbangan, bekalan air yang dihadapi hotel-hotel khususnya di sekitar Kota Kinabalu, serta bantuan subsidi kepada pemain industri pelancongan Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau berkata, semua isu berkenaan akan terus diberi perhatian dan tindakan susulan sewajarnya bagi memastikan kepentingan pemain industri serta kelancaran sektor pelancongan negeri terus terpelihara.

Jafry turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri, jabatan, agensi serta pemain industri amat penting dalam memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Katanya, persediaan awal perlu diperkukuhkan bagi memastikan Sabah benar-benar bersedia menyambut Visit Sabah 2027, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat serta komuniti tempatan.

“Semua perkara ini akan terus diberi perhatian dan disusuli dengan tindakan sewajarnya bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya saing dan bersedia menjelang Visit Sabah 2027,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO