Kerajaan Johor Gempur Sampah Haram, Tiga Lokasi Diserbu
PONTIAN, 13 Ogos – Kerajaan Negeri Johor tegas dalam membanteras kegiatan pembuangan sisa secara haram apabila turun padang dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Sisa di Daerah Pontian, yang membawa kepada pembukaan tiga kertas siasatan terhadap aktiviti pelupusan dan penambakan sisa di tiga lokasi berasingan.
Operasi yang melibatkan Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, bersama ADUN Kukup merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Negeri Johor, Md. Israk Abdullah, itu turut disertai Pegawai Daerah Pontian, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, SWCorp Negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Pejabat Tanah Daerah Pontian, PDRM serta jabatan dan agensi berkaitan.
Tiga lokasi yang menjadi tumpuan ialah Jalan Kampung Sawah, Pekan Nenas; Tanjung Bin, Kukup; dan Jalan Kampung Sinar Harapan, Pekan Nenas, selepas isu pembuangan serta penambakan sisa secara tidak terkawal dikenal pasti memerlukan tindakan segera dan bersepadu daripada agensi penguat kuasa.

“Kita mahu tindakan dibuat berdasarkan bukti, siasatan dan peruntukan undang-undang iaitu bukan sekadar datang melihat dan kemudian selesai begitu sahaja,” tegas Mohd Jafni.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan, menyebabkan atau membenarkan aktiviti pelupusan sisa secara tidak sah kerana kegiatan sedemikian bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, tanggungjawab memastikan tanah tidak disalahgunakan untuk aktiviti pelupusan sisa bukan hanya terletak pada pihak berkuasa, sebaliknya pemilik tanah juga perlu memainkan peranan dengan memastikan setiap aktiviti yang dijalankan di atas tanah mereka mematuhi undang-undang.
“Kita juga tidak mahu mana-mana tanah, termasuk tanah persendirian, dijadikan tempat pelupusan atau penambakan sisa secara tidak terkawal. Pemilik tanah mempunyai tanggungjawab memastikan setiap aktiviti yang dijalankan di atas tanah mereka mematuhi undang-undang,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati dua lokasi pertama terbabit dengan aktiviti pelupusan dan penambakan menggunakan sisa binaan, manakala di Jalan Kampung Sinar Harapan pula pasukan penguat kuasa mengesan aktiviti pelupusan sisa bercampur di sebuah tapak sampah haram.
Susulan itu, tiga kertas siasatan dibuka oleh SWCorp Negeri Johor di bawah Seksyen 71(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), dengan dua kertas siasatan membabitkan pemilik tanah di Jalan Kampung Sawah dan Tanjung Bin, manakala satu lagi hasil operasi intipan dan serbuan di Jalan Kampung Sinar Harapan.
Mohd Jafni berkata, tindakan bersepadu amat penting kerana isu pembuangan sisa haram tidak boleh dilihat sebagai masalah satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dapat dibuat secara menyeluruh.
Beliau turut menegaskan pendekatan itu selari dengan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mahu setiap isu rakyat ditangani dengan pantas, tegas dan berkesan, khususnya apabila ia melibatkan kepentingan serta kesejahteraan masyarakat.

“Dalam isu alam sekitar dan kebersihan, kita tidak boleh menunggu sehingga masalah menjadi lebih besar. Penguatkuasaan, pemantauan, pemeriksaan dan tindakan susulan mesti berjalan serentak kerana kesannya bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi turut menyentuh soal kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat setempat,” katanya.
Jelasnya, operasi berkenaan bukan sekadar simbolik atau turun padang untuk melihat keadaan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada tindakan susulan kerajaan negeri bagi memastikan aduan dan isu yang membabitkan kepentingan rakyat benar-benar diselesaikan.
Ujarnya, kerajaan negeri juga memberi jaminan bahawa siasatan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti terbabit, sekali gus memberi peringatan bahawa tindakan membuang atau menambak sisa sesuka hati tidak akan dibiarkan berlarutan. – UMNO Online
