Kerajaan Melaka Hargai Jasa Wira Kebersihan – Rais
MELAKA, 12 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka terus menghargai sumbangan serta jasa pekerja pembersihan yang menjadi antara tunjang penting dalam memastikan persekitaran negeri sentiasa bersih, selesa dan terurus.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merasmikan Majlis Santuni Pekerja Pembersihan Negeri Melaka.
Menurut beliau, majlis tersebut cukup dekat di hati kerana memberi ruang untuk meraikan golongan yang banyak berkhidmat di belakang tabir, namun sumbangan mereka dapat dirasai rakyat setiap hari.

“Waktu kita masih lena, mereka sudah memulakan tugas. Panas dan hujan tetap mereka tempuhi demi memastikan jalan, taman dan kawasan awam sentiasa bersih dan selesa.
“Mungkin tidak semua kerja mereka mendapat perhatian, tetapi tanpa mereka, wajah Melaka yang bersih dan indah tidak mungkin dapat kita nikmati seperti hari ini,” katanya.
Rais turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya – Bandaraya Pintar.
Penghargaan sama turut ditujukan kepada CMI Infra, SWCorp Melaka dan SWM Environment Sdn Bhd yang terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri Melaka.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Hattan atas persembahan nyanyian khas yang disampaikan kepada para pekerja pembersihan sebagai tanda penghargaan atas khidmat dan pengorbanan mereka.
“Jasa anda semua mungkin tidak selalu disebut, tetapi percayalah, ia sentiasa kami hargai dan tidak akan dilupakan,” katanya.
Majlis tersebut menjadi manifestasi penghargaan kerajaan negeri terhadap golongan pekerja pembersihan yang terus melaksanakan amanah dalam memastikan kebersihan serta keceriaan kawasan awam di seluruh Melaka sentiasa terpelihara.- UMNO Online
