Hari ASEAN Ke-59: Manifestasi Iltizam Negara Anggota Perkukuh Perpaduan, Solidariti
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Sambutan Hari ASEAN ke-59 menjadi manifestasi iltizam negara anggota memperkukuh perpaduan, solidariti dan kerjasama demi keamanan, kestabilan serta kemakmuran rantau Asia Tenggara.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sambutan Hari ASEAN pada tahun ini mengetengahkan perjalanan hampir enam dekad termasuk sumbangan dan komitmen berterusan negara dalam membangunkan Komuniti ASEAN.

“Alhamdulillah, hari ini Wisma Putra mengadakan sambutan Hari ASEAN untuk memperingati penubuhan ASEAN pada 8 Ogos 1967 yang lahir daripada satu gagasan berani lima negara pengasas bagi bersama-sama membina keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.
“Selepas 59 tahun, ASEAN terus berkembang sebagai sebuah organisasi yang unik, menghimpunkan negara-negara dengan kepelbagaian latar belakang, budaya dan kepentingan, namun tetap berpaksikan semangat saling menghormati dan kerjasama.
“Bertemakan ‘59 Years of Navigating Together’, sambutan pada tahun ini mengetengahkan perjalanan hampir enam dekad Malaysia bersama ASEAN termasuk sumbangan dan komitmen berterusan negara dalam membangunkan Komuniti ASEAN.

“Sambutan Hari ASEAN ke-59 ini turut menjadi manifestasi iltizam bersama negara-negara anggota ASEAN untuk terus memperkukuh perpaduan, solidariti dan kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau Asia Tenggara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan suratcara lantikan kepada bakal Konsul Jeneral dan Konsul Malaysia ke luar negara yang baharu pada Isnin.

“Menyerahkan suratcara lantikan kepada bakal Konsul Jeneral dan Konsul Malaysia ke luar negara yang baharu di Wisma Putra sebentar tadi.
“Selamat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan. Semoga dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya, membawa nama Malaysia dan terus memperkukuh hubungan serta kerjasama antara Malaysia dengan negara penempatan,” katanya lagi.
ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 melalui Deklarasi Bangkok oleh lima negara pengasas iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand dengan matlamat mewujudkan kerjasama serantau demi keamanan, kestabilan serta kemakmuran bersama.
Dalam tempoh hampir enam dekad, ASEAN berkembang menjadi sebuah blok serantau yang penting dengan keanggotaan kini merangkumi 11 negara selepas Timor-Leste menyertai pertubuhan itu pada 2025.
Malaysia pula terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama ASEAN, termasuk ketika memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025. – UMNO Online
