Kerajaan Tempatan Johor Fokus Permudah Urusan, Tingkat Kualiti Hidup Rakyat

ISKANDAR PUTERI, 11 Ogos – Kerajaan Tempatan Negeri Johor akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan penyampaian perkhidmatan, mempermudah urusan rakyat serta memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata perkara itu menjadi antara penekanan utama dalam Amanat Kerajaan Tempatan Negeri Johor bersama kepimpinan dan warga kerja 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

Menurut beliau, budaya kerja kerajaan tempatan perlu beralih daripada sekadar merancang dan melaporkan kepada tindakan yang pantas serta penyelesaian yang benar-benar dirasai rakyat.

“Kerajaan mesti bekerja, pembangunan mesti bergerak dan rakyat mesti merasai hasilnya. Apa yang telah diluluskan mesti bergerak, yang sedang dilaksanakan mesti disiapkan dan yang telah siap mesti memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Permai berkata pendekatan 3T1M – Turun Padang, Teamwork, Te Shì Te Bàn dan Micromanage akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap isu rakyat dipantau secara dekat dan diselesaikan sehingga ke peringkat akhir.

Ujarnya, antara fokus utama kerajaan tempatan ialah mempermudah urusan peniaga kecil melalui pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama, kelulusan lesen perniagaan tidak berisiko dalam tempoh 24 jam serta pembaharuan lesen dalam tempoh satu jam.

“Kerajaan tidak semestinya membantu rakyat dengan memberi wang semata-mata. Ada ketika bantuan yang lebih besar ialah apabila kerajaan membuang birokrasi, memendekkan masa menunggu dan membuka jalan supaya rakyat lebih mudah mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan memperluas kemudahan komuniti menerusi Medan Niaga Bangsa Johor, Taman Komuniti Bangsa Johor dan Taman Tema Air Mini Bangsa Johor, selain memperkukuh penggunaan teknologi seperti Smart CCTV dan Smart Traffic Light bagi meningkatkan keselamatan serta melancarkan pergerakan harian rakyat.

“Sistem Pengurusan Aduan Johor atau MyAduan Johor juga akan diperluas ke semua 16 PBT secara berfasa supaya setiap aduan rakyat mempunyai tindakan, tempoh penyelesaian dan pemantauan yang jelas.

“Bagi rakyat, kerajaan adalah satu. Apabila mereka mengadu, tanggungjawab kita ialah mencari penyelesaian, bukan menolak mereka daripada satu meja ke satu meja.”

Mohd Jafni turut menegaskan bahawa pembangunan bandar tidak boleh hanya diukur melalui projek berskala besar, sebaliknya turut merangkumi jalan yang baik, taman yang selesa, kebersihan, kemudahan awam yang terjaga serta persekitaran yang selamat.

Beliau berkata kerajaan tempatan akan terus memperkukuh budaya kerja yang pantas, turun padang dan berorientasikan penyelesaian supaya setiap kemajuan Johor akhirnya dapat dirasai oleh Bangsa Johor.

“Rakyat tidak meminta kerajaan melakukan perkara yang mustahil. Rakyat mahu perkara yang diputuskan dilaksanakan, masalah yang dilaporkan diselesaikan dan kemudahan yang dijanjikan dapat digunakan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO