Pembangunan Sabah Mesti Diterjemah Kepada Tindakan, Kemajuan Dan Hasil – Jafry
KOTA KINABALU, 11 Ogos – Pembangunan di Sabah mesti diterjemahkan kepada tindakan yang jelas, kemajuan yang nyata serta hasil yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat, kata Ketua UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau berkata, setiap perancangan pembangunan tidak seharusnya terhenti pada peringkat dasar atau perancangan semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.

Jafry berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Bilangan 2 Tahun 2026, semalam.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan menjadi platform penting untuk menyelaras serta memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan negeri, khususnya dalam memastikan setiap perancangan dan projek yang dilaksanakan mencapai matlamat serta memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
“Pembangunan mesti diterjemahkan kepada tindakan, kemajuan dan hasil yang dapat dirasai rakyat.
“Setiap perancangan yang dibuat perlu disusuli dengan pelaksanaan yang berkesan supaya manfaat pembangunan itu benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya lagi, – UMNO Online
