Myanmar Sedia Bawa Pulang 5,000 Pelarian Dengan Kapal – Mohamad
PUTRAJAYA, 10 Ogos – Kerajaan Myanmar menyatakan kesediaan untuk membawa pulang 5,000 pelarian negara itu menggunakan kapal, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan ketika pertemuannya bersama Menteri Luar Myanmar, Tin Maung Swe baru-baru ini, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek keselamatan pelarian terbabit.
“Mereka menyatakan kesediaan untuk membawa pulang 5,000 (pelarian) ini dengan kapal. Tetapi isunya ialah keselamatan 5,000 orang ini.
“Apakah apabila kita hantar mereka balik, mereka selamat? Ataupun apa akan terjadi kepada mereka, itu perlu juga difikirkan,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari ASEAN Ke-59, di sini pada Isnin.

Mohamad berkata, Malaysia telah mengenal pasti kesemua 5,000 pelarian berkenaan dan meskipun tiada tempoh masa khusus ditetapkan setakat ini, proses penghantaran pulang mereka perlu disegerakan.
Sementara itu, Mohamad berkata, isu pelarian dari Myanmar tidak seharusnya hanya dilihat daripada sudut etnik Rohingya kerana terdapat kumpulan etnik lain dari negara berkenaan yang turut menjadi pelarian termasuk etnik Chin dan Karen.
Katanya, ASEAN juga memandang serius isu pelarian Myanmar yang harus ditangani bersama oleh negara-negara anggota.
Beliau menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara (5PC) perlu kekal menjadi teras mekanisme ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar.
“Kita mahu supaya 5PC itu kekal menjadi teras mekanisme ASEAN terhadap Myanmar dan kita mahu supaya kerajaan Myanmar memenuhi hasrat ketua-ketua negara ASEAN kerana 5PC ini ditandatangani, dipersetujui oleh semua, termasuk oleh pemimpin Myanmar pada ketika itu.
“Jika ada apa-apa perubahan yang nak dibuat terhadap 5PC ini, mesti kembali semula ke meja perundingan dan dibawa diputuskan oleh ketua-ketua negara ASEAN itu sendiri,” kata beliau. – Bernama
