RM4.06 Bilion Untuk Laksana Projek Bekalan Air Luar Bandar Di Sabah – Ahmad Zahid
KUDAT, 8 Ogos – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan berjumlah RM4.06 bilion kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi membiayai pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di seluruh negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penyaluran peruntukan untuk projek berkenaan yang dilaksanakan sendiri oleh kerajaan negeri bertujuan memastikan masalah bekalan air bersih di kawasan desa dan luar bandar Sabah dapat diatasi secara menyeluruh.
“Masalah utama di Sabah ini adalah bekalan air bersih dan elektrik. Jadi, ini amanah saya sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, selesaikan perkara ini terutama di desa dan luar bandar. Saya telah minta peruntukan kepada Kabinet bagi perkara ini.
“Usaha ini penting kerana soal pembangunan menjadi hak kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira di Sabah, Sarawak atau Semenanjung,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kebudayaan Rungus di Matunggong di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Presiden Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia Datuk Wetrom Bahanda juga Ahli Parlimen Kota Marudu.
Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memantau serta memberi sokongan teknikal bagi membolehkan kerja-kerja pelaksanaan BALB berjalan mengikut jadual ditetapkan.
“Penyaluran peruntukan berkenaan juga memberikan fokus utama kepada kawasan luar bandar termasuk di Kudat, Kota Marudu serta Pitas yang merupakan antara daerah termiskin di Malaysia,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan infrastruktur asas dan usaha membasmi kemiskinan tegar di kawasan luar bandar Sabah demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Komitmen berkenaan dilaksanakan menerusi penyaluran pelbagai peruntukan pembangunan termasuk projek bekalan air dan elektrik luar bandar terutamanya di kawasan yang dikategorikan sebagai miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata pelbagai inisiatif sosioekonomi turut dirancang serta digerakkan secara berterusan bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga dalam kumpulan B40 di kawasan luar bandar.
Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa KKDW akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memantau pelaksanaan setiap projek pembangunan agar impaknya dapat dirasai secara terus oleh komuniti setempat.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha menaik taraf Daerah Kecil Matunggong kepada sebuah daerah penuh dan akan mengadakan perbincangan bersama-sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Kabinet berkaitan perkara itu.
“Penaiktarafan Matunggong dilihat penting bagi membolehkan daerah berkenaan menerima peruntukan pembangunan yang lebih khusus daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid mengarahkan agensi terlibat terutama dalam KKDW memulakan kerja-kerja membaik pulih dewan komuniti di Matunggong dalam tempoh tiga bulan dari sekarang demi kemudahan masyarakat setempat. – BERNAMA
