Pembentukan Kerjasama Rentas Parti, Wajar Ambil Kira Soal Kestabilan Politik – Johari Ghani
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Sebarang pembentukan kerjasama politik rentas parti tidak wajar mengenepikan aspek kestabilan politik kerana ia asas penting untuk pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengalaman dari negara luar menunjukkan, tanpa kestabilan ini, sukar ekonomi mereka membangun, apatah lagi menarik keyakinan pelabur luar.
“Apa saja susunan atau pun kerjasama politik di antara parti-parti ini, yang paling penting ialah kita mesti pastikan bahawa kita tidak boleh menggugat kestabilan politik yang ada dalam negara kita.
“Sebab bila ada kestabilan politik, di situlah bermulanya bagaimana kita boleh membangunkan ekonomi. Kita sudah tengok banyak negara-negara di luar sana.
“Bila tidak ada kestabilan politik, orang tak akan datang untuk membangunkan ekonomi,” katanya ditemui pada Program Sumbangan Terus Berbakti Parlimen Setiawangsa di ibu negara, hari ini.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, keyakinan pelabur luar amat bergantung kepada kestabilan politik sesebuah negara itu, kerana ia mempengaruhi kemampanan sesebuah dasar dilaksana kerajaan.
“Kalau kita tengok apabila negara ini berlaku pertukaran pemimpin terlalu kerap, satu penggal sampai tiga, empat orang tukar, jadi mana pelabur mahu datang? Sebab tukar satu kerajaan, polisi pun tukar.
“Saya bagi contoh dulu, kita sudah elok-elok ada GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), tukar jadi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Memanglah dua-dua pun cukai, tetapi masalahnya penyesuaian yang mahu dibuat oleh golongan yang menjalankan aktiviti ekonomi ini akan terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas rundingan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johari berkata, rundingan antara pengerusi kedua-kedua gabungan itu sedang berjalan.
“Sebenarnya rundingan ini saya tidak terbabit. Ia runding di peringkat presiden sama presiden.
“Jadi saya memang tidak terbabit dalam perundingan ini dan saya tidak tahu,” katanya turut menjelaskan dinamika politik di beberapa negeri ketika ini tidak seharusnya disamakan dengan nasional,” ujarnya. – BH Online
