AKAR 2026 Terus Santuni Murid, Gilap Kreativiti Generasi Muda
TASEK GELUGOR, 7 Ogos – Program Jelajah Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 peringkat Negeri Pulau Pinang diteruskan hari ini dengan singgahan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, Tasek Gelugor, bagi menyemarakkan budaya kreativiti dan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan murid sekolah rendah.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, penganjuran program itu bukan sekadar memberi ruang kepada murid menonjolkan bakat menerusi aktiviti mewarna, malah menjadi platform membentuk keyakinan diri dan nilai murni sejak usia muda.

“Program AKAR memberi peluang kepada anak-anak untuk mengembangkan kreativiti mereka dalam suasana yang menyeronokkan. Pada masa yang sama, mereka turut didedahkan dengan kepentingan menjaga alam sekitar agar nilai tersebut dapat dipupuk sejak kecil dan menjadi amalan apabila dewasa nanti,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada pihak Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, para guru serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah, guru-guru dan semua yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan Jelajah AKAR 2026 di Pulau Pinang. Diharapkan program seperti ini akan terus melahirkan generasi yang berani berkarya, kreatif serta mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Jelajah Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 merupakan antara inisiatif yang memberi pendedahan kepada generasi muda untuk mengembangkan bakat kreatif di samping menyemai kesedaran mengenai kepentingan memelihara alam sekitar melalui pendekatan pendidikan yang interaktif dan menyeronokkan. – UMNO Online
