Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040… Hala Tuju Pembangunan 15 Tahun
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 merupakan hala tuju pembangunan negeri bagi tempoh 15 tahun akan datang, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau telah merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 (Kajian Semula) dan Penyerahan Pelan Sempadan Indikatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) pada Khamis.

“Petang tadi saya merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 (Kajian Semula) serta Penyerahan Pelan Sempadan Indikatif JPKK Negeri Pahang, di Tanjung Lumpur, Kuantan.
“Terima kasih kepada PLANMalaysia Pahang kerana berjaya menganjurkan dua program penting pada hari ini.
“Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 merupakan hala tuju pembangunan negeri bagi tempoh 15 tahun akan datang. Ia akan menjadi panduan dalam menentukan dasar, pelaburan dan pembangunan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Pahang,” katanya.
Ujarnya, penyerahan Pelan Sempadan Indikatif JPKK kepada para penghulu akan membantu proses perancangan pembangunan kampung secara lebih tersusun dan berasaskan data yang tepat.
“Kerajaan Negeri Pahang komited untuk memastikan pembangunan yang dirancang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan lestari selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan luar bandar. Penyerahan Pelan Sempadan Indikatif JPKK kepada para penghulu akan membantu proses perancangan pembangunan kampung secara lebih tersusun, berasaskan data yang tepat serta memenuhi keperluan sebenar rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat di Negeri Pahang untuk mengemukakan pandangan, cadangan dan maklum balas bagi draf rancangan tersebut.
“Saya menyeru seluruh rakyat Pahang agar mengambil peluang sepanjang tempoh publisiti awam iaitu bermula dari 3 Ogos hingga 2 September 2026 untuk meneliti Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 (Kajian Semula) dan mengemukakan pandangan, cadangan mahupun maklum balas. Perancangan yang baik ialah perancangan yang dibina bersama rakyat.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita akan terus memperkukuhkan Aspirasi Pahang 1st dan membina sebuah negeri yang lebih makmur, lestari, berdaya saing serta sejahtera menjelang tahun 2040,” katanya lagi. – UMNO Online
