Kesihatan Rakyat Bukan Bahan Politik, Jangan Salahkan Onn Hafiz – Haslinda Salleh

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Exco Wanita UMNO Malaysia, Haslinda Salleh menegaskan tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang (HPG) bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi suara rakyat yang mahukan penyelesaian segera terhadap masalah yang telah berlarutan.

Jelasnya, adalah tidak adil apabila ada pihak cuba memutarbelitkan kenyataan Menteri Besar seolah-olah beliau menyerang atau memberi tekanan kepada petugas kesihatan, sedangkan hakikatnya Onn Hafiz sedang melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin negeri dengan menyuarakan denyut nadi rakyat Johor.

“Adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sedang menyalahkan atau memberi tekanan kepada mana-mana pihak. Sebaliknya, beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar untuk membawa suara dan denyut nadi rakyat Johor agar isu ini diberikan perhatian segera oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa.

“Sejak awal lagi, pendekatan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa berteraskan mencari penyelesaian, bukan mencari siapa yang harus dipersalahkan. Apabila beliau membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang, ia bukan bertujuan mencetuskan polemik, tetapi bagi memastikan kemudahan kesihatan yang telah disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

“Kita harus melihat perkara ini sebagai usaha bersama. Kerajaan Negeri telah menyediakan infrastruktur dan terus memperjuangkan keperluan rakyat, manakala Kerajaan Persekutuan melalui KKM, SPA dan JPA mempunyai peranan penting dalam mempercepatkan pengisian jawatan, memperkukuhkan skim perkhidmatan dan menjaga kebajikan petugas kesihatan,” katanya.

Haslinda yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor berkata, kesihatan rakyat tidak sepatutnya dijadikan medan untuk saling menuding jari, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu mencari penyelesaian segera demi kepentingan rakyat.

“Kesihatan rakyat bukan medan untuk saling menyalahkan. Ia adalah amanah yang menuntut kerjasama semua pihak. Rakyat Johor tidak memerlukan pertikaian. Rakyat Johor memerlukan tindakan yang pantas, penyelesaian yang berkesan dan komitmen semua pihak demi memastikan setiap hospital dapat berfungsi pada kapasiti terbaik untuk manfaat seluruh “Bangsa Johor”,” katanya lagi.

Tambah Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis lagi, suara yang dibawa oleh Onn Hafiz adalah satu desakan agar penyelesaian segera diberikan terhadap isu kekurangan doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang masih membelenggu Hospital Pasir Gudang.

“Apa yang dibangkitkan oleh Onn Hafiz bukanlah bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya menzahirkan kebimbangan terhadap keperluan rakyat Johor yang berhak menikmati perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

“Hospital tersebut dibina dengan kemudahan moden dan berpotensi besar untuk muncul sebagai hospital pakar terbaik di negeri ini. Namun, hakikatnya hospital tersebut masih belum dapat beroperasi pada kapasiti penuh kerana kekurangan doktor, jururawat dan petugas kesihatan.  Isu ini perlu disuarakan kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Tegasnya, sudah tiba masanya semua pihak memberi tumpuan kepada penyelesaian, bukannya mencetuskan polemik yang akhirnya hanya merugikan rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO