Onn Hafiz Bersuara Demi Pesakit, Jangan Diputarbelitkan – Hasrunizah

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Hasrunizah Hassan menegaskan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung isu kekurangan doktor di Hospital Pasir Gudang tidak seharusnya diputarbelitkan sehingga dilihat sebagai serangan terhadap petugas kesihatan.

Ujarnya, apa yang dibangkitkan Menteri Besar adalah suara rakyat dan realiti yang telah sekian lama dihadapi Hospital Pasir Gudang, sekali gus menjadi desakan agar pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera demi kepentingan pesakit serta kebajikan petugas kesihatan.

“Menteri Besar Johor tidak menyerang atau menekan doktor serta warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Apa yang beliau lakukan ialah menyuarakan isu yang telah lama membelenggu Hospital Pasir Gudang, iaitu kekurangan doktor dan tenaga kerja, supaya pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera.

“Matlamatnya cukup jelas iaitu untuk memastikan Hospital Pasir Gudang dapat beroperasi dengan lebih baik, memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat, dan pada masa yang sama mewujudkan suasana kerja yang lebih selesa, teratur dan kondusif buat doktor serta seluruh warga hospital.

“Apabila tenaga kerja mencukupi, maka beban kerja dapat dikurangkan dan sudah tentu kakitangan juga dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang dan bersemangat,” katanya.

Tambah beliau, isu kekurangan doktor dan tenaga kerja bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah lama menjadi rungutan rakyat serta warga hospital sendiri yang terpaksa berdepan beban tugas yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Hasrunizah yang juga Exco Wanita UMNO berkata menyuarakan sesuatu masalah bukan bermaksud menyalahkan petugas di lapangan di barisan hadapan, sebaliknya bertujuan mendesak pihak yang mempunyai kuasa agar segera menyelesaikan isu yang telah lama membelenggu sistem perkhidmatan kesihatan.

“Tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai satu usaha yang ikhlas demi kebajikan rakyat serta kesejahteraan warga Hospital Pasir Gudang. Apa yang dibangkitkan ialah system yang memerlukan penyelesaian segera dan bukannya mencari kambing hitam.

“Fokus kita sepatutnya ialah mencari jalan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, bukannya menyerang individu yang berani membawa isu tersebut ke perhatian umum,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang menjelaskan bahawa Menteri Besar memikul tanggungjawab membawa suara rakyat Johor apabila berdepan dengan masalah yang menjejaskan perkhidmatan awam.

“Tanggungjawab beliau (Menteri Besar) adalah membawa suara rakyat Johor apabila ada masalah yang menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat, beliau tidak boleh berdiam diri,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO