RUU Statistik: Reformasi Perkukuh Ekosistem Data Negara

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Statistik merupakan antara reformasi institusi yang amat penting dalam memperkukuh ekosistem data negara, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, data berkualiti menjadi asas kepada setiap dasar, perancangan dan keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Alhamdulillah, dengan berakhirnya Sidang Dewan Negara semalam, maka berakhirlah juga satu lagi fasa penting perjuangan Kementerian Ekonomi dalam membawa Rang Undang-Undang Statistik sehingga berjaya diluluskan.

“Sebagai seorang penggubal dasar, saya berpeluang mengikuti perjalanan usaha ini sejak peringkat awal pembentangannya. Pada hemat saya, RUU Statistik merupakan antara reformasi institusi yang amat penting dalam memperkukuh ekosistem data negara agar lebih tersusun, berintegriti dan responsif terhadap keperluan semasa.

“Data yang berkualiti bukan sekadar angka. Ia menjadi asas kepada setiap dasar, perancangan dan keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat. Dengan sistem statistik lebih moden dan menyeluruh, kita dapat memastikan setiap dasar yang dirangka berpaksikan fakta, bukti serta keperluan sebenar negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kebersamaan agensi penting sepanjang pembentangan RUU tersebut menjadi asas kepada pembinaan ekosistem data negara yang lebih kukuh.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Perangkawan Malaysia, Siti Asiah Mohd Zaini, seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dan pasukan Kementerian Ekonomi yang bersama-sama mengiringi proses pembentangan RUU ini di Dewan Negara semalam. Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang proses ini amat saya hargai.

“Lebih bermakna, kami turut disertai oleh mantan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Kehadiran beliau mencerminkan kesinambungan kepimpinan dan iltizam bersama dalam memperkukuh sistem statistik negara.

“Insya-Allah, kebersamaan inilah yang akan menjadi asas kepada pembinaan ekosistem data negara yang lebih kukuh, diyakini dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan. Semoga segala usaha ini menjadi manfaat buat Malaysia dan seluruh rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO