MARA Perkasa Pengantarabangsaan TVET, Perkukuh Kerjasama Pendidikan Dengan Australia

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Australia bagi memperluaskan peluang pendidikan serta pendedahan industri kepada pelajar TVET MARA.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan beliau mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa Australia, Hon. Julian Hill, di Kedutaan Australia di Kuala Lumpur semalam.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, walaupun Julian Hill hanya berada di ibu negara selama beberapa jam, pertemuan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk membincangkan pelbagai bentuk kerjasama dalam bidang pendidikan antara MARA dan Kerajaan Australia.

“Antara inisiatif utama yang dibincangkan ialah program pengantarabangsaan TVET yang membuka peluang kepada pelajar TVET MARA mengikuti pendedahan pendidikan dan latihan industri di Australia, sekali gus meningkatkan kemahiran serta daya saing mereka di peringkat global,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut menghargai komitmen Julian Hill yang sebelum ini membantu usaha MARA semasa lawatan kerja ke Australia bagi mendapatkan diskaun yuran pengajian daripada beberapa universiti terkemuka negara itu.

Jelasnya, kerjasama berterusan dengan Australia diyakini mampu memperkukuh ekosistem pendidikan MARA, khususnya dalam melahirkan modal insan TVET berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri di peringkat antarabangsa. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO