Pelan Strategik BHEUU 2026–2030 Pacu Reformasi Perundangan, Perkukuh Tadbir Urus Digital

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh sistem perundangan negara menerusi pelaksanaan Pelan Strategik Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) 2026–2030 yang akan menjadi pemacu utama agenda reformasi institusi.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Undang-Undang dan Reformasi Institusi bagi bulan Ogos 2026, semalam yang turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik BHEUU 2026–2030, Pelan Strategik Pendigitalan BHEUU 2026–2030 serta Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat BHEUU.

Majlis pelancaran tersebut turut disempurnakan bersama Timbalan Menteri sebagai simbol komitmen berterusan dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, progresif dan berorientasikan rakyat.

Menurut Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO, Pelan Strategik BHEUU 2026–2030 menjadi hala tuju penting dalam memacu reformasi perundangan yang lebih responsif terhadap keperluan semasa, di samping memperluaskan akses kepada keadilan serta memperkukuh tadbir urus digital melalui pemanfaatan data dan teknologi pintar.

“Pelaksanaan pelan strategik ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak nyata kepada rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, inovatif dan berorientasikan hasil,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh warga BHEUU agar menghayati aspirasi yang digariskan dalam pelan tersebut dengan memperkukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta negara.

Dalam pada itu, bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, beliau mengajak seluruh warga BHEUU menyemarakkan semangat patriotisme serta terus berganding bahu membina institusi negara yang kukuh, diyakini rakyat dan mampu mendepani cabaran masa hadapan.

“Marilah kita terus bekerja dengan semangat cintakan negara dan tekad untuk membina institusi yang kukuh, diyakini rakyat serta sentiasa mendahulukan kepentingan Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO