Azalina Ucap Selamat Ulang Tahun Ke-25 Puteri UMNO, Bangga Lihat Terus Berkembang
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Puteri UMNO ke-25 kepada seluruh kepimpinan dan ahli Puteri UMNO di seluruh negara.
Azalina, yang juga merupakan Ketua Puteri UMNO pertama, berkata beliau amat bersyukur dan berbangga melihat sayap parti itu terus berkembang sebagai wadah penting dalam melahirkan pemimpin wanita muda yang berani, berprinsip serta dekat dengan denyut nadi rakyat.

Menurut beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, sepanjang 25 tahun penubuhannya, Puteri UMNO telah memainkan peranan signifikan dalam memperkasa penyertaan wanita muda dalam arena politik dan kepimpinan negara.
“Sebagai Ketua Puteri UMNO yang pertama, saya amat bersyukur serta bangga melihat sayap ini terus berkembang menjadi wadah penting dalam melahirkan pemimpin wanita muda yang berani, berprinsip dan dekat dengan denyut nadi rakyat,” katanyamenerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Beliau turut berharap Puteri UMNO akan terus menjadi suara generasi muda, memperkukuh perjuangan parti serta membawa aspirasi wanita Malaysia ke hadapan.
“Semoga Puteri UMNO terus subur sebagai suara generasi muda, memperkukuh perjuangan parti dan membawa aspirasi wanita Malaysia ke hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online
