MB Pahang Ziarah Jenazah Ketua Pemuda UMNO Maran, Takziah Kepada Keluarga
TEMERLOH, 4 Ogos – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menziarahi jenazah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi, di Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh pada malam tadi sejurus selesai proses bedah siasat.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO bersama ahli keluarga, sahabat handai dan para jemaah sempat menunaikan solat jenazah serta bacaan tahlil buat Allahyarham dan tiga lagi ahli keluarganya yang turut terkorban dalam tragedi pokok tumbang di Bentong.

“Malam tadi, saya menziarahi jenazah Allahyarham Mohd Radzi Rahimi di Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh. Alhamdulillah, kami sempat menunaikan solat jenazah dan bacaan tahlil buat Allahyarham serta tiga ahli keluarganya yang turut meninggal dunia dalam kejadian itu.
“Sayu melihat ahli keluarga dan insan-insan yang rapat dengan Allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir. Semoga Allah SWT mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya kepada Allahyarham, melapangkan kuburnya, menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta mengurniakan kekuatan,
ketabahan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga, khususnya anak Allahyarham yang masih tinggal,” katanya.
Terdahulu, Wan Rosdy berkata pemergian Allahyarham Mohd Radzi Rahimi atau lebih dikenali sebagai Edy Radzi merupakan satu kehilangan besar kepada UMNO Bahagian Maran, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
Tragedi yang berlaku di Bentong pada tengah hari semalam bukan sahaja meragut nyawa Allahyarham, malah turut mengorbankan isterinya, abang ipar serta seorang anak mereka.

Menurut beliau, Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin muda yang komited, berjiwa rakyat dan sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan perjuangan parti di samping berkhidmat kepada masyarakat.
“Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semua mangsa yang terkorban, mengampunkan segala dosa mereka serta menempatkan mereka dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – UMNO Online
