MARA Perluas Kerjasama Strategik, Sasar Lebih Ramai Graduan TVET Raih Gaji Premium
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus mempergiatkan kerjasama strategik dengan pelbagai industri serta syarikat-syarikat besar bagi memastikan lebih ramai graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA memperoleh peluang pekerjaan bergaji premium melebihi RM3,000 sebulan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan itu merupakan antara usaha berterusan MARA untuk melahirkan tenaga kerja mahir Bumiputera yang memenuhi keperluan industri selain meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.
Menurut beliau, beberapa syarikat ternama telah menyatakan komitmen untuk mengambil graduan TVET MARA menerusi program latihan dan pengambilan secara terus.

Katanya, Samsung SDI Energy Malaysia memerlukan kira-kira 700 tenaga kerja mahir bagi menyokong operasi serta pengembangan syarikat. Bagi memenuhi keperluan itu, MARA melalui rangkaian institusi TVET MARA dan GIATMARA telah membangunkan kerjasama strategik untuk membekalkan bakat Bumiputera yang memenuhi standard industri.
“Sehingga kini, seramai 200 graduan telah berjaya disalurkan kepada Samsung menerusi Program Fast Track & Direct Industry Intake. Peserta dipilih daripada graduan TVET MARA dan GIATMARA di seluruh negara berdasarkan kompetensi teknikal serta keperluan khusus yang ditetapkan syarikat dalam bidang Elektrik, Elektronik, Mekanikal, Pembuatan dan Mekatronik,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, menerusi program itu, peserta akan memulakan kerjaya sebagai Junior Technician sepanjang tempoh latihan industri selama enam bulan dengan gaji melebihi RM2,800 sebulan.
“Selepas berjaya memenuhi penilaian prestasi syarikat, mereka akan diserap sebagai Full Technician bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dengan gaji permulaan melebihi RM3,500 sebulan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi berkata, MARA turut menjalinkan kerjasama strategik dengan DayOne Data Centre bagi menyokong pertumbuhan pesat industri pusat data yang menjadi antara pemacu ekonomi digital negara.
Menurut beliau, kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang Elektrik, Mekanikal, Chargeman, HVAC (Heating, Ventilation & Air Conditioning) serta Building Maintenance, yang merupakan kompetensi kritikal dalam operasi pusat data bertaraf antarabangsa.
“Melalui program ini, seramai 70 pelajar TVET MARA akan menjalani latihan industri secara intensif sebelum diserap terus ke dalam syarikat sebagai Technician dan Engineer dengan gaji permulaan sekitar RM4,500 sebulan,” katanya.
Beliau berkata, MARA akan terus memperluaskan kerjasama dengan lebih banyak pemain industri bagi memastikan graduan TVET MARA bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran kerja, malah berpeluang menikmati kerjaya berkualiti dengan pendapatan yang kompetitif. – UMNO Online
