Dialog Indo-Pasifik Tidak Bermakna Tanpa ASEAN Yang Aman, Bersatu – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Tiada dialog atau penglibatan yang bermakna berhubung keselamatan di Indo-Pasifik dapat dilaksanakan tanpa ASEAN yang aman dan bersatu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata Asia Tenggara berada di kedudukan geografi yang strategik dan sebagai nadi kepada Indo-Pasifik, sekali gus menjadikan kestabilan ASEAN sebagai asas kepada keamanan dan keselamatan rantau yang lebih luas.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan kepada semua rakan luar dan kuasa besar dunia bahawa seni bina keselamatan ASEAN yang sekian lama diwujudkan mesti kekal menjadi saluran utama untuk sebarang perbincangan substantif tentang Indo-Pasifik.

“Pertama sekali, saya ingin menegaskan dan mengingatkan semua bahawa Asia Tenggara mesti terus kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Kami tidak percaya bahawa keamanan memerlukan kita untuk memilih pihak, sebaliknya keamanan memerlukan kita untuk melibatkan dan menghormati semua pihak, sambil kekal berpandukan prinsip teras dan kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) 37th Annual International Military Law and Operations Conference (MILOPS) 2026 di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata mana-mana negara yang ingin menjalinkan kerjasama dengan ASEAN perlu memahami dan menghormati sepenuhnya Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Beliau berkata TAC berfungsi sebagai kod tatakelakuan ASEAN yang mengandungi prinsip teras seperti saling menghormati, penyelesaian pertikaian secara aman, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara serta kerjasama yang membina.

“Kejayaan ASEAN sejak beberapa dekad yang lepas tidak berlaku secara kebetulan, tetapi dibina berasaskan pendirian berkecuali dan tidak berpihak yang membolehkan kepelbagaian budaya, agama dan sistem terus berkembang, di samping meningkatkan keyakinan pelabur serta kemakmuran,” katanya.

Dalam menyampaikan mesej secara langsung kepada pemimpin tentera, pengamal dan pakar perundangan yang hadir, Mohamed Khaled turut mengingatkan mereka tentang tanggungjawab sebenar angkatan tentera dalam landskap geopolitik moden.

“Tujuan sebenar berada dalam angkatan tentera bukanlah untuk berperang atau mencetuskan konflik, sebaliknya untuk memastikan peperangan dan konflik tidak menjadi satu keperluan. Kehadiran angkatan tentera tidak seharusnya dilihat sebagai simbol kekuatan atau ugutan, tetapi komitmen bersama terhadap keamanan,” katanya.

Beliau turut menyampaikan mesej itu kepada kuasa besar dunia yang memiliki keupayaan ketenteraan yang penting dengan menyifatkan mereka sebagai penjaga keamanan dan kestabilan global.

“Pengiktirafan ini hadir dengan tanggungjawab yang amat besar. Kami tidak berniat memberitahu anda kaedah untuk melaksanakan dasar luar negara, namun kami mengharapkan perkara ini dilaksanakan dengan menghormati undang-undang antarabangsa dan susunan berasaskan peraturan secara konsisten, bukannya secara terpilih,” katanya.

Persidangan MILOPS ke-37 menghimpunkan pemimpin pertahanan, pegawai tentera, sarjana perundangan dan penggubal dasar dari seluruh rantau Indo-Pasifik bagi memupuk kepercayaan profesional, persefahaman bersama dan kestabilan serantau. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO