Jelajah Sejahtera Desaku Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Dengan Rakyat – Zolkafly
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Program Jelajah Sejahtera Desaku Negeri Perak dan Jualan Rahmah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi pendekatan turun padang yang memberi fokus kepada keperluan komuniti setempat.
Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, program yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Batu 30 Lebuhraya, Gelung Pepuyu, Bota, Perak itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan setiap inisiatif serta bantuan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pendekatan mendekati rakyat secara langsung membolehkan kerajaan mendengar sendiri pandangan serta keperluan masyarakat, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk turun padang mendekati rakyat, mendengar sendiri suara masyarakat serta memastikan setiap inisiatif dan bantuan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti di peringkat akar umbi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak itu menerusi hantaran di Facebook.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Pertanian Negeri Perak Ts. Norsiyenti Othman; Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt. Hafezul Helmi Hamzah; Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah Mohd Azhar Alias; Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Bota Sarah Syazwani Saari, selain ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta daerah, penghulu-penghulu mukim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pemimpin masyarakat.
Dalam pada itu, Mohd Zolkafly merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar DUN Bota, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Pejabat Penghulu Mukim selaku urus setia, selain semua jabatan, agensi kerajaan, pihak swasta, JPKK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang program termasuk Jualan Rahmah, pameran dan reruai daripada Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta pelbagai agensi lain bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kerajaan.
Tambah Mohd Zolkafly lagi, program tersebut turut didahului dengan aktiviti gotong-royong pada 28 Julai lalu sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sukan yang berjaya menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu berharap agar Program Jelajah Sejahtera Desaku akan terus menjadi platform yang memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat luar bandar yang lebih sejahtera, maju dan berdaya tahan.
Terdahulu, Mohd Zolkafly mengadakan lawatan ke beberapa projek pertanian komuniti yang berpotensi untuk terus diperkasakan.
“Saya berkesempatan meninjau Projek Pertanian Ahli Kariah Surau Al-Naqliah, RPT Desa Seri Bayu yang mengusahakan tanaman betik, di samping melawat Projek Pertanian Jiran Nita dan Kebun Nita yang mengusahakan pelbagai tanaman seperti sayuran, nanas, serai dan lain-lain.
“Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa pertanian komuniti mampu menjadi sumber pendapatan yang mampan serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negeri,” katanya. – UMNO ONLINE
