PRN: Saiful Yazan Selesai Tunai Tanggungjawab Mengundi
KUALA PILAH, 1 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Undang Abdul Manaf, di sini.
Beliau tiba di pusat mengundi bersama isterinya, Datin Shaliza Idris, kira-kira jam 9.30 pagi sebelum memasuki pusat pengundian untuk mengundi di saluran satu.
Selesai mengundi, Saiful melahirkan rasa syukur kerana proses pengundian berlangsung dalam keadaan tenang dan teratur.
“Alhamdulillah saya melihat suasana pada pagi ini cukup baik dan tenang. Saya juga mengucapkan tahniah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kerana proses pengundian berjalan dengan baik dan teratur.
“Saya berharap perjalanan mengundi pada hari ini akan terus berlangsung lancar sehingga tamat,” katanya.
Sehubungan itu, Saiful menyeru seluruh pengundi, khususnya di DUN Johol, supaya keluar mengundi lebih awal bagi menentukan hala tuju pembangunan kawasan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Kepada mereka yang masih dalam perjalanan ke pusat mengundi di DUN Johol, saya ucapkan selamat pulang ke kampung, pandulah dengan berhati-hati dan jangan lupa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Untuk rekod, Saiful Yazan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini berhadapan saingan dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH).
PRN Negeri Sembilan diadakan susulan DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan Ke-16. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
