Jentera BN Sabah Terus Pergiat Kempen, Yakin Rakyat Pilih Kestabilan

CHENGKAU ULU, 31 Julai 2026 – Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata jentera Barisan Nasional (BN) Sabah terus mempergiat gerak kerja kempen pada hari terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menerusi program ziarah dan bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Chengkau Ulu.

Beliau berkata, kehadiran jentera BN Sabah bukan sekadar memenuhi tanggungjawab parti, malah mencerminkan semangat solidariti dan komitmen berterusan dalam membantu memastikan kemenangan calon-calon Barisan Nasional.

“Setiap undi amat bermakna. Pada saat-saat akhir inilah seluruh jentera perlu bekerja dengan lebih gigih, menyantuni rakyat dan menyampaikan mesej bahawa BN menawarkan kepimpinan yang stabil, berpengalaman serta mampu menjamin masa depan negeri,” katanya.

Menurut beliau, sambutan positif yang diterima sepanjang tempoh kempen memberikan keyakinan bahawa rakyat semakin matang dalam membuat pilihan dan mengutamakan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan.

Seterusnya, Jafry turut menyeru seluruh pengundi di Negeri Sembilan agar keluar mengundi esok dan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat demi menentukan masa depan negeri.

“Undilah Barisan Nasional demi kestabilan, kemajuan dan masa depan Negeri Sembilan yang lebih baik,” serunya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO