PETRA Laksana Kajian Dasar Tebus Guna Air Industri Dalam Tempoh 12 Bulan
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan kajian pembangunan Dasar Tebus Guna Air Industri dalam tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air negara.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata hasil kajian itu akan menjadi asas kepada pembangunan dasar berkenaan sebagai panduan kepada sektor industri selain makanan dan minuman, seperti pusat data, semikonduktor, dan pembersihan awam.

“Kerajaan komited untuk menggalakkan penggunaan air tebus guna sebagai satu daripada pendekatan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air, khususnya bagi guna industri yang tidak memerlukan air merawat berkualiti minuman.
“Pendekatan ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan jaminan bekalan air negara melalui pengurusan sumber air yang lebih mampan dan murni,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai garis masa pelaksanaan Dasar Tebus Guna Air Kebangsaan, termasuk infrastruktur diperlukan, penglibatan kerajaan negeri dan mekanisme kawal selia kualiti air tebus guna.
Abdul Rahman berkata kajian menyeluruh itu akan merangkumi analisis dari aspek teknikal, perundangan, kewangan, dan ekonomi, selain menilai keperluan infrastruktur serta mekanisme kawal selia kualiti air.
Bagi memastikan dasar itu bersifat komprehensif, beliau berkata PETRA turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri, operator air, Indah Water Konsortium (IWK) serta pihak industri. – BERNAMA
