8,014 Pertuduhan Penipuan Dalam Talian Direkod Setakat Mei Tahun Ini – TPM Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Sebanyak 8,014 pertuduhan berkaitan jenayah penipuan dalam talian direkodkan setakat Mei tahun ini, mengatasi jumlah keseluruhan 6,140 pertuduhan sepanjang 2025, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata statistik itu menunjukkan bahawa ancaman jenayah penipuan dalam talian semakin serius bukan sahaja dari segi peningkatan jumlah kes, malah kerugian kewangan yang semakin besar kepada rakyat.

“Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang jenayah siber yang menyeluruh dan komprehensif bagi menangani jenayah siber secara lebih berkesan, selaras dengan landskap ancaman keselamatan siber yang semakin rumit dan canggih,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata seramai 10,245 individu ditangkap setakat Mei tahun ini dengan tangkapan tertinggi melibatkan jenayah telekomunikasi, e-dagang, pelaburan dan pinjaman tidak wujud.
Katanya, jumlah tangkapan meningkat daripada 16,244 pada 2022 kepada 23,753 pada 2025, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh berkenaan.
“Hal ini mencerminkan fokus penguatkuasaan terhadap sindiket yang paling aktif dan memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya.
RUU Jenayah Siber 2026 yang mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal itu diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Julai lepas serta digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 dan memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks. – BERNAMA
