PRN Johor … Daripada Hinaan Kepada Kemenangan

Daripada hinaan kepada kemenangan,terima kasih Bangsa Johor – kini giliran BN menunaikan amanah rakyat

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT atas kemenangan besar Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Johor.

Mandat yang diberikan oleh Bangsa Johor bukan sekadar satu kemenangan politik. Ia adalah amanah yang sangat besar dan kepercayaan yang wajib kami lunaskan dengan kerja, integriti serta kepimpinan yang membawa manfaat kepada seluruh rakyat.

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan yang luar biasa. Sahabat telah diberikan kepercayaan yang begitu besar oleh rakyat Johor. Gunakanlah amanah ini untuk terus membina negeri, menjaga kebajikan rakyat dan membuktikan bahawa politik yang berteraskan khidmat akan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.

Terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan yang begitu bermakna kepada Barisan Nasional.

Sepanjang kempen, kami diserang dengan pelbagai tuduhan, difitnah, diperlekeh dan dijadikan sasaran pelbagai tohmahan. Namun akhirnya, rakyat Johor membuat keputusan berdasarkan fakta, rekod perkhidmatan dan keikhlasan, bukan semata-mata retorik serta kata-kata yang membangkitkan emosi.

Keputusan ini adalah peringatan bahawa politik kebencian, budaya memfitnah dan usaha memecah-belahkan rakyat tidak boleh dijadikan asas untuk membina masa depan sebuah negeri. Demokrasi memberikan ruang untuk berbeza pandangan, tetapi rakyat juga berhak menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang sekadar pandai berjanji.

Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, seluruh kepimpinan UMNO, parti-parti komponen Barisan Nasional, Friends of BN dan setiap jentera yang berkorban masa, tenaga dan jiwa sepanjang perjuangan ini. Kemenangan ini lahir daripada kesatuan, disiplin dan semangat yang tidak pernah luntur.

Insya-Allah, kemenangan Johor akan menjadi titik permulaan kepada kebangkitan yang lebih besar. Dengan izin Allah SWT, semangat ini akan kita bawa ke Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya menuju Pilihan Raya Umum Ke-16.

Kepada pihak lawan, kami tidak akan membalas fitnah dengan fitnah, atau kebencian dengan kebencian. Jawapan kami ialah kerja, hasil dan khidmat kepada rakyat. Akhirnya, rakyatlah yang menentukan siapa yang layak memimpin.

Terima kasih Bangsa Johor. Amanah ini akan kami pelihara dengan sebaik-baiknya.

Tahniah Barisan Nasional. Tahniah Bangsa Johor.

Johor Bangkit, Barisan Nasional Kembali Kuat.



DATUK MOHD RAFI ALLI HASSAN
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Labuan

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO