Pilih BN, Solusi Masa Depan Anak Muda

PILIHAN Raya Negeri Johor bukan sekadar menentukan parti yang akan mentadbir negeri ini untuk lima tahun akan datang. Ia adalah pilihan yang akan menentukan masa depan generasi muda Johor.

Sebagai anak muda, saya percaya aspirasi kami cukup jelas. Kami mahukan peluang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti, pekerjaan dengan gaji yang bermaruah dan peluang memiliki rumah sendiri. Ketiga-tiga perkara inilah yang menjadi asas kepada kehidupan yang lebih baik.

Atas sebab itu, anak muda perlu menilai berdasarkan rekod, bukan sekadar manifesto. Janji boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, tetapi hanya kerajaan yang berpengalaman dan stabil mampu menterjemahkan janji kepada hasil yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Pada hemat saya, rekod pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah Barisan Nasional yang membawa gagasan Maju Johor 2030 membuktikan perkara tersebut.

1. Peluang pekerjaan yang bergaji premium.

Kerajaan Negeri terus menarik pelaburan berkualiti dalam sektor berteknologi tinggi, pusat data, logistik dan ekonomi digital yang membuka ribuan peluang pekerjaan kepada anak Johor.

Bagi memastikan peluang ini dimanfaatkan oleh rakyat tempatan, Kerajaan Negeri menubuhkan Johor Talent Development Council (JTDC) yang menyelaras pembangunan bakat mengikut keperluan industri.

Melalui program seperti Skills4Johor, latihan kemahiran dan pemadanan pekerjaan, lebih ramai graduan dipersiapkan untuk memperoleh pekerjaan bergaji premium. Pelaksanaan Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) pula dijangka memperluaskan lagi peluang kerjaya bernilai tinggi pada masa hadapan.

2. Pendidikan yang berkualiti.

Kerajaan Negeri terus memperkukuh bantuan kepada mahasiswa Anak Johor, memperluaskan latihan TVET, memperkenalkan Sekolah Rintis Bangsa Johor sebagai model pendidikan berteraskan kecemerlangan, serta mengeratkan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri. Pendekatan ini memastikan anak muda bukan sahaja mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti, malah memiliki kemahiran, nilai kepimpinan dan daya saing yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa hadapan.

3. Peluang memilik rumah sendiri.

Barisan Nasional memahami bahawa rumah merupakan asas kepada sebuah kehidupan yang stabil. Sebab itu Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor menjelang tahun 2030 agar lebih ramai anak muda mampu memiliki kediaman sendiri.

Ketiga-tiga agenda ini saling melengkapi. Pendidikan melahirkan tenaga kerja berkualiti, tenaga kerja menarik pelaburan dan memperoleh pekerjaan yang baik, manakala pendapatan yang stabil membolehkan lebih ramai anak muda memiliki rumah sendiri. Inilah pendekatan Barisan Nasional yang bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membina peluang.

Saya percaya anak muda Johor merupakan generasi yang bijak menilai.

Nilailah berdasarkan rekod, bukan retorik.

Nilailah berdasarkan hasil, bukan sekadar janji.

Atas sebab itu, saya menyeru seluruh anak muda Johor agar keluar mengundi dan membuat pilihan yang bijaksana. Pilihlah sebuah kerajaan yang telah membuktikan keupayaannya melalui rekod pentadbiran, bukan sekadar janji pilihan raya.

Marilah kita bersama-sama memberikan sokongan kepada Barisan Nasional agar agenda mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, memperkasa pendidikan dan merealisasikan pembinaan 100,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030 dapat diteruskan demi masa depan generasi muda.

Masa depan Johor berada di tangan kita. Bersama Barisan Nasional, marilah kita terus membina Johor sebagai negeri terbaik untuk belajar, bekerja dan memiliki rumah.


Oleh: Muhammad Luqman Mohd Abdul Latif
AJK UMNO Bahagian Pasir Gudang
Pengerusi Persatuan Mahasiswa Pasir Gudang

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO