Jangan Kelirukan Rakyat: Tolak Dap Bukan Menolak Kaum Cina
MEMAHAMI pendirian politik UMNO Johor secara rasional, UMNO Johor tetap untuk semua ‘Bangsa Johor’
Menjelang musim pilihan raya, pelbagai isu dan kenyataan politik akan dijadikan bahan kempen untuk menyerang lawan. Ada kalanya sesuatu kenyataan dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.
Baru-baru ini, selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan bahawa BN Johor akan bergerak secara solo dan tidak bekerjasama dengan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Pendirian tersebut selaras dengan keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN.
Namun begitu, kenyataan tersebut segera dijadikan naratif politik oleh pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah UMNO Johor menolak kaum tertentu, khususnya masyarakat Cina.

Persoalannya, adakah menolak kerjasama dengan Dap bermaksud menolak kaum Cina?
Jawapannya sudah tentu tidak.
Perkara asas yang perlu difahami ialah Dap merupakan sebuah parti politik yang berdaftar dan bertanding dalam sistem demokrasi negara. Dap bukanlah satu kaum. Dap juga bukan satu agama.
Ahli dan penyokong Dap terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain. Begitu juga terdapat ramai masyarakat Cina yang tidak menyokong Dap dan memilih parti-parti lain sebagai wadah perjuangan politik mereka.
Oleh itu, mengaitkan penolakan terhadap Dap dengan penolakan terhadap kaum Cina adalah satu kesimpulan yang tidak tepat dan bercanggah dengan realiti politik Malaysia yang mengamalkan sistem berbilang parti.
Dalam sistem demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan hala tuju dan rakan kerjasama politik masing-masing. Perbezaan politik tidak sama dengan sentimen perkauman.
Jika sesebuah parti memilih untuk bergerak secara solo atau menolak kerjasama dengan parti lain, ia adalah keputusan politik yang dibuat berdasarkan strategi, prinsip dan mandat yang dipercayai oleh parti tersebut.
Malah Onn Hafiz sendiri menjelaskan bahawa pendirian BN Johor bukan didorong oleh sentimen perkauman, sebaliknya berdasarkan prinsip politik dan kehendak akar umbi parti.

Perbezaan ideologi dan pendekatan pentadbiran adalah perkara biasa dalam politik. Parti-parti politik di Malaysia sejak dahulu lagi sering menerima atau menolak kerjasama antara satu sama lain tanpa ia ditafsirkan sebagai penolakan terhadap sesuatu kaum atau agama.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Onn Hafiz sering menegaskan bahawa dasar pembangunan negeri adalah untuk seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. UMNO Johor tetap untuk semua ‘Bangsa Johor’.
Ramai pemimpin kerajaan negeri turut mempertahankan bahawa pendirian politik BN Johor tidak boleh disalah tafsir sebagai tindakan menolak mana-mana kaum kerana pentadbiran negeri terus mengamalkan pendekatan inklusif kepada semua rakyat Johor.
Rakyat menilai kerajaan bukan berdasarkan siapa rakan politiknya semata-mata, tetapi melalui prestasi pentadbiran, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesejahteraan hidup.
Dalam suasana PRN yang akan datang, rakyat perlu berhati-hati dengan naratif yang cuba mengelirukan fakta. UMNO Johor tetap untuk semua ‘Bangsa Johor’.
Menolak sebuah parti politik tidak sama dengan menolak sesuatu kaum atau agama.

Jika sesebuah parti memilih untuk tidak bekerjasama dengan parti lain, ia adalah hak demokratik yang diamalkan dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Dap adalah parti politik, Dap bukan kaum Cina dan parti Dap juga bukan agama.
Maka, menolak Dap sebagai rakan politik tidak boleh secara automatik diterjemahkan sebagai menolak masyarakat Cina atau mana-mana kelompok rakyat Malaysia.
Kematangan politik menuntut rakyat menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan konteks sebenar, bukan sekadar persepsi yang dibentuk oleh propaganda pilihan raya.
UMNO Johor tetap untuk semua ‘Bangsa Johor’.
Hj. Zanuddin Salleh
Ketua Biro Komunikasi UMNO Bahagian Bukit Bintang
