Dapatan, Syor Bengkel TVET Pertanian Bakal Dibentang Dalam Mesyuarat – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 23 April – Dapatan dan syor yang diperolehi daripada Bengkel Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerusi satu kenyataan berkata usaha tersebut mencerminkan pendekatan ‘whole-of-government’ dalam memperkukuh pembangunan bakat bagi sektor pertanian.

“Saya menyambut baik inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan sokongan Majlis TVET Negara yang telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan TVET Pertanian, yang menghimpunkan tujuh kementerian utama dalam ekosistem TVET negara pada 20 hingga 21 April 2026 di Kuala Lumpur.
“Bengkel ini memfokuskan kepada penyelarasan program TVET Pertanian merentas kementerian bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.
“Usaha ini mencerminkan pendekatan ‘whole-of-government’ dalam memperkukuh pembangunan bakat bagi sektor pertanian, sebagai antara strategi utama dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara serta membangunkan bakat masa hadapan.
“Bengkel ini turut memberi perhatian terhadap penilaian cabaran semasa sektor pertanian, khususnya dalam usaha menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang ini sebagai kerjaya masa depan yang berdaya maju,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, bengkel tersebut turut memberi penekanan kepada pengukuhan kolaborasi strategik bersama pihak industri, peluasan peluang penempatan latihan dan peningkatan kebolehkerjaan graduan.
“Dalam masa yang sama, perbincangan turut menjurus kepada pengenalpastian program-program berimpak tinggi serta mode lpelaksanaan yang mampan agar setiap inisiatif yang dirangka mampu memberikan pulangan optimum kepada negara dan rakyat.
“Keupayaan institusi latihan juga diperkukuh melalui usaha meningkatkan kualiti tenaga pengajar, memodenkan fasiliti latihan serta menyelaras kurikulum berasaskan keperluan industri semasa.
“Selain itu, penekanan turut diberikan kepada pengukuhan kolaborasi strategik bersama pihak industri, peluasan peluang penempatan latihan dan peningkatan kebolehkerjaan graduan, serta aspek pembangunan agropreneur terus diperkasa sebagai pemangkin kepada transformasi sektor pertanian yang lebih inovatif, berdaya saing dan menarik minat generasi muda,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan TVET kekal sebagai laluan utama pembangunan modal insan negara.
“Kerajaan menyedari bahawa sektor pertanian perlu melalui transformasi menyeluruh dengan memanfaatkan teknologi, inovasi serta pendekatan latihan yang lebih responsif kepada keperluan industri.
“Sehubungan itu, dapatan dan syor daripada bengkel ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara yang akan datang untuk pertimbangan dan keputusan dasar di peringkat tertinggi.
“Saya yakin pendekatan yang lebih terselaras ini akan meningkatkan keberkesanan program TVET pertanian, memperkukuh kerjasama antara kementerian dan agensi pelaksana serta mampu menarik lebih ramai golongan belia menceburi sektor pertanian sebagai kerjaya berdaya maju sekaligus meningkatkan imej dan daya tarikan TVET pertanian.
“Kerajaan akan terus memastikan TVET kekal sebagai laluan utama pembangunan modal insan negara, sejajar dengan keperluan ekonomi dan aspirasi Malaysia Madani,” katanya lagi. – UMNO Online
