Proses Undian Lancar, Jeffery Seru Pengundi Keluar Awal

PUTATAN, 29 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat Jeffery Nor Mohamed bersyukur proses pengundian setakat ini berjalan lancar.

Jeffery menyeru pengundi dapat keluar awal menunaikan tanggungjawab mengundi memandangkan cuaca hari ini kelihatan mendung dan khuatir hujan di waktu petang.

“Perjalanan proses pengundian baik. Saya agak sedikit risau kerana hujan tadi, hujan lebat semalam dan masih lagi mendung. Kita berharap hujan ini dapat berhenti dan memberikan pengundi-pengundi dapat keluar beramai-ramai bagi menjalankan proses demokrasi di negeri kita ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jeffery ditemui di luar pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan di sini.

Tepat jam 9 pagi tadi, Jeffery yang ditemani ibu, isteri serta ahli keluarganya selesai mengundi di SMK Putatan ini.

Seterusnya, beliau berharap apa yang diusahakan bersama jentera akan membuahkan hasil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini.

“Insya-Allah dengan apa yang telah kita laksanakan, usahakan dan segala kempen yang dijalankan selama 14 hari ini, kita berdoa semoga ia membuahkan hasil yang baik bagi perjalanan PRN ini.

“Saya minta jentera untuk terus bertahan. Kita bekerja sampai ke penamatnya dan semoga semuanya berjalan dengan lancar dan baik.

“Saya percaya jentera Barisan Nasional Putatan ini sudah lama bekerja dan mereka bertahan selama ini untuk perjuangan ini. Insya-Allah,” katanya lagi.

Bermula jam 7.30 pagi tadi, semua 882 pusat mengundi dan 3,559 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dibuka serentak bagi memberi peluang kepada 1.74 juta pengundi melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka.

Pusat-pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat bermula 12 tengah hari hingga penutupan penuh pada 5.30 petang.

Dilaporkan, berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan diramal berlaku di beberapa kawasan di Sabah pagi ini manakala ribut petir dijangka melanda kawasan pedalaman pada waktu petang.

Hujan juga dijangka melanda beberapa tempat pada sebelah malam ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO