PRN Sabah: Norliza Doakan Kemenangan Calon BN, Jentera Terus Bekerja
KOTA KINABALU, 28 Nov – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, menzahirkan doa agar semua calon BN khususnya empat calon wanita berjaya meraih kemenangan.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh jentera BN di pelbagai peringkat yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen, bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan kemenangan parti.

“Kerja keras dan komitmen seluruh jentera amat saya hargai. Saya menyeru semua agar terus bekerja keras sehingga ke garisan penamat. Jangan leka dan sentiasa berwaspada kerana apa sahaja boleh berlaku pada saat-saat akhir,” katanya.
Menurut Norliza, momentum sokongan terhadap BN di Sabah kini berada pada landasan positif hasil kerjasama dan gerak kerja tersusun seluruh jentera parti. Beliau yakin kemenangan BN akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah dan memastikan kesinambungan pembangunan negeri.
“Insya-Allah, BN berada di landasan kemenangan demi rakyat, demi Sabah, dan demi masa depan masyarakat seluruhnya. Saya mendoakan semua calon BN diberi kekuatan dan dipermudahkan perjalanan mereka menghadapi hari pengundian esok,” katanya lagi. – UMNO Online
