30 Bekas Ahli Armada Tawau Beralih Sokongan Kepada BN
TAWAU, 28 Nov – Menjelang hari mengundi esok, gelombang sokongan anak muda terhadap Barisan Nasional (BN) semakin ketara apabila seramai 30 bekas ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Tawau mengumumkan keluar parti secara beramai-ramai hari ini.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Dr. Elmiariezan Ardan, berkata kumpulan bekas ahli Armada itu telah memilih untuk menyertai UMNO Bahagian Tawau dalam satu majlis yang berlangsung di hadapan beliau.

“Langkah berani yang diketuai oleh mantan Ahli Jawatankuasa PPBM, Iwan Yusril, jelas menandakan hilangnya keyakinan anak muda terhadap Armada yang semakin lemah, berpecah serta gagal menawarkan hala tuju politik yang meyakinkan.
“Lebih signifikan, kumpulan ini turut menyatakan sokongan padu dan terbuka kepada calon BN di DUN N.68 Apas, sekali gus mencerminkan perubahan arus sokongan politik dalam kalangan anak muda di kawasan tersebut.
“Ini bukan sekadar kemasukan biasa, tetapi mesej jelas bahawa anak muda mahukan politik yang stabil dan berwibawa. Mereka sudah muak dengan retorik kosong serta pergolakan dalaman PPBM,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr. Elmiariezan yang juga Bendahari Pemuda UMNO Tawau menegaskan bahawa mereka kini memilih BN dan memberikan sokongan penuh kepada beliau.

“Kemasukan mantan ahli Armada tersebut diyakini mampu menguatkan jentera Pemuda UMNO Bahagian Tawau dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Selain itu, ia turut membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) terus menjadi pilihan utama anak muda yang mahukan masa depan lebih terjamin,” katanya lagi.
Menurutnya, Pemuda UMNO Tawau akan terus komited memperkasa gerakan lapangan, memperluas penyertaan belia, serta memastikan kemenangan BN di DUN Apas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November sebagai hari pengundian.
Berdasarkan statistik SPR, seramai 1,760,417 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini. – UMNO Online
