Sokongan Pengundi Kukusan Penting Untuk Masa Depan – Chaya Sulaiman

KUKUSAN, 28 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Chaya Sulaiman, berkata bahawa pada penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sambutan rakyat di Kukusan amat menggalakkan dan terus meningkat sehingga ke hari pengundian.

Menurutnya, beliau berharap para pengundi Sabah, khususnya di DUN Kukusan, akan memberikan sokongan kepada BN pada hari pengundian.

“Saya mengharapkan agar pengundi Sabah, khususnya di DUN Kukusan, memberikan sokongan kepada calon BN pada hari mengundi. Datanglah awal pada waktu pagi, bawa kad pengenalan dan pastikan anda mengundi BN.

“Sokongan masyarakat Kukusan amat penting bagi memastikan hala tuju pembangunan di kawasan ini terus berjalan lancar serta memberi manfaat kepada semua penduduk.

“Marilah kita bersama-sama memilih kestabilan dan kesinambungan supaya Kukusan terus maju di bawah pentadbiran BN,” katanya kepada UMNO Online selepas menyempurnakan pelepasan bendera BN bagi konvoi motosikal anak muda.

Turut hadir Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Exco Wanita UMNO, Hisham Suhaily Othman; Wan Mohalina Wan Mohammad; Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din; serta jentera parti.

Mengulas lanjut, Chaya berkata rakyat Sabah telah merasai sendiri perbezaan ketara antara kedua-dua pentadbiran sebelum ini.

“Rakyat Sabah bijak kerana mereka sudah membandingkan antara dua kerajaan yang mentadbir negeri ini, dan merasai sendiri perbezaan ketara antara pentadbiran BN sebelum ini dengan kerajaan negeri sekarang.

“Parti ini telah terbukti membawa banyak sumbangan kepada rakyat Sabah, dan ternyata mereka merindui pentadbiran BN,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan para pengundi agar tidak terpengaruh dengan dakyah atau sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“BN komited untuk membawa politik yang matang, stabil dan berorientasikan pembangunan. Kita tidak menjanjikan retorik, sebaliknya menawarkan pelan tindakan yang terbukti berkesan serta mampu dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Dengan memilih BN, penduduk bukan sahaja memilih calon, tetapi juga memilih kesinambungan perkhidmatan, peluang ekonomi dan pembangunan berterusan,” ujarnya.

Pada 15 November lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Chaya Sulaiman sebagai calon rasmi BN bagi kerusi DUN Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut statistik SPR, seramai 1,760,417 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini. SPR menetapkan 29 November sebagai hari pengundian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO