Awang Aslee Rayu Sokongan Pengundi, Beri Mandat Pada BN
BEAUFORT, 28 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat merayu para pengundi di kawasan itu supaya keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada BN pada hari pengundian esok sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Awang Aslee berkata, rayuan itu khusus ditujukan kepada semua pengundi berdaftar terutamanya golongan muda yang bakal menentukan hala tuju Kuala Penyu.

“Saya merayu kepada semua pengundi-pengundi berdaftar di DUN Kuala Penyu, khususnya anak-anak muda, agar keluar mengundi esok dan memilih Barisan Nasional,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesungguhannya bertanding bukan sahaja sebagai calon BN, tetapi juga sebagai anak jati Kuala Penyu yang memahami keperluan dan cabaran masyarakat setempat.
“Saya lahir di Kuala Penyu, membesar di Kuala Penyu dan bersekolah di Kuala Penyu. Sebab itu saya memohon agar diberi peluang kali ini untuk bekerjasama dengan masyarakat membangunkan Kuala Penyu,” ujarnya.
Menurutnya, daerah berkenaan telah lama ketinggalan berbanding kawasan lain di Sabah, justeru memerlukan perubahan dan perhatian pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Berilah saya kepercayaan untuk membangunkan Kuala Penyu ini. Insya-Allah, jika diberi mandat, saya akan buktikan bahawa Kuala Penyu juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan daerah-daerah lain,” tambah beliau.
Awang Aslee turut mengingatkan para pengundi agar memilih BN dengan menandakan calon nombor tiga pada kertas undi bagi DUN N.33 Kuala Penyu. – UMNO Online
