Uji Kaji Pasca 2018 Dapat Kerajaan Gagal… Anak Muda Diseru Pilih BN

TUARAN, 28 Nov – Perubahan tampuk pentadbiran kerajaan pasca 2018 ternyata gagal membangunkan negeri Sabah, ujar Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Hairi Mad Shah.

Katanya, ini berbeza sebelumnya ketika zaman Barisan Nasional (BN) di mana BN sentiasa mengutamakan pembangunan di samping menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat negeri itu.

“Maka, anak-anak muda inilah masa kita untuk melihat sebuah negeri yang maju yang mana sebelum ini kita lihat negeri ini maju dan aman, tetapi apabila perubahan berlaku untuk uji kaji, ia tidak berjaya.

“Kembalikan kepada yang sewajarnya, parti yang sentiasa berfikir untuk masalah rakyat, pembangunan dan khususnya kepentingan dan kebajikan rakyat,” kata Exco Kerajaan Negeri Johor itu.

Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin ditemui selepas menyantuni penduduk kampung yang terkesan akibat banjir di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tambalang, di sini.

Hadir sama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman Dr Shahnon Rizal Thaijudin.

Justeru itu, Hairi menyeru semua anak muda negeri Sabah agar jangan ragu membuat perubahan dengan memberi undi kepada calon-calon BN.

“Buat seluruh anak muda di seluruh Sabah ini, pada 29 hari bulan selaku anak Malaysia yang ingin melihat pembangunan di negeri ini terus maju dan kekal di bawah pentadbiran yang cukup-cukup sinonim dengan khidmat baktinya.

“Jangan lepaskan peluang untuk memangkah calon Barisan Nasional atau ‘timbangan’. Anak-anak muda ayuh kita kembalikan, bina semula Sabah ini bawah panji-panji Barisan Nasional,” serunya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok, Sabtu sebagai hari pembuangan undi di mana tempoh berkempen yang bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam ini.

Selasa lalu, berlangsung undi awal kepada 24,426 pengundi awal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO