Konvoi Anak Muda Bukti BN Dapat Sokongan Jitu – Noraini Ahmad

KALABAKAN, 28 Nov – Menjelang tamatnya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, suasana semakin hangat apabila hampir 300 anak muda menyertai konvoi motosikal sambil membawa bendera Barisan Nasional (BN) mengelilingi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan sebagai tanda sokongan menjelang hari terakhir kempen.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menzahirkan penghargaan kepada semua peserta khususnya golongan belia yang menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu menggerakkan kempen parti.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sokongan yang ditunjukkan para ‘rider’ jelas membuktikan semangat jitu generasi muda terhadap perjuangan BN.

“Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada para ‘rider’, khususnya anak-anak muda yang menaiki motosikal dan mengelilingi seluruh DUN Kukusan.

“Saya sendiri telah merasmikan simbolik pelepasan konvoi tersebut sebagai tanda sokongan kepada gerak kerja kempen.

“Hampir 300 penunggang motosikal, yang majoritinya terdiri daripada anak-anak muda di DUN Kukusan, hadir memberikan sokongan padu kepada calon BN, Cahya Sulaiman,” katanya kepada UMNO Online.

Turut hadir pada simbolik pelepasan bendera BN, calon DUN Kukusan, Chaya Sulaiman; Exco Wanita UMNO, Hisham Suhaily Othman; Wan Mohalina Wan Mohammad; Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din serta jentera parti.

Tambah Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menjelaskan, kehadiran mereka membuktikan semangat jitu golongan muda dalam memastikan kemenangan BN di kawasan ini.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong yakin kemampuan BN untuk mengembalikan momentum pembangunan di Sabah sekiranya diberi peluang memimpin semula.

“BN merupakan sebuah parti yang terbukti terbaik dalam membawa pembangunan, tidak kira sama ada di Sabah atau di Semenanjung. Kami yakin bahawa sekiranya diberi peluang untuk ‘bikin balik’ Sabah.

“Insya-Allah… BN akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaiknya. Segalanya dapat direalisasikan jika rakyat memberikan mandat kepada calon-calon BN,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok, 29 November sebagai hari pengundian.

Mengikut statistik SPR, seramai 1,760,417 pengundi biasa yang layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO