Manfaatkan PRN, Mohd Zaidy Ajak Anak Muda Sabah Undi BN Demi Masa Depan

KOTA KINABALU, 28 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menyeru anak muda memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menilai tawaran dan rekod perkhidmatan Barisan Nasional (BN) yang konsisten memperjuangkan kepentingan generasi muda.

Beliau yang turut membantu kempen BN di sini berkata gelombang sokongan anak muda semakin ketara khususnya melalui Jelajah Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.

Menurutnya, tawaran BN kepada anak muda bukan sekadar janji, tetapi telah terbukti melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti peningkatan akses TVET, program pembangunan keusahawanan serta jaminan sokongan kepada tenaga kerja muda yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Pastikan tanggal 29 November ini, anak muda memilih calon yang benar-benar memperjuangkan hak orang muda seperti saranan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Mohd Zaidy menegaskan, memilih BN pada PRN kali ini merupakan langkah tepat untuk memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan masa depan anak muda lebih terjamin.

“Komitmen BN dalam agenda pembangunan belia bukan sekadar retorik, tetapi dibuktikan melalui pelaksanaan dasar dan program yang dapat dirasai secara langsung termasuk akses TVET yang lebih luas, bantuan keusahawanan belia, peluang pekerjaan berasaskan kemahiran serta inisiatif meningkatkan taraf hidup golongan muda luar bandar.”

Beliau turut mengajak semua pengundi muda untuk turun mengundi dan memastikan suara mereka diterjemahkan melalui mandat kepada BN yang mempunyai hala tuju jelas serta agenda masa depan yang lebih kukuh.

Dilaporkan, pengundi PRN merekodkan bahawa 55.4 peratus daripada keseluruhan 1,784,843 terdiri daripada pemilih muda berusia 18 hingga 40 tahun. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO