Kembalikan Mandat Klias Kepada BN, Haji Osin Janji Beri Khidmat Terbaik

BEAUFORT, 28 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi N.32 Klias, Haji Osin Jilon, menyeru para pengundi di kawasan itu untuk keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Beliau mengingatkan bahawa Klias pernah menjadi kubu kuat BN sebelum 2020, namun kerjasama politik ketika itu menyebabkan sokongan beralih.

“Klias dulu milik BN, tetapi pada 2020 atas nama kerjasama kita telah bantu calon di sana. Namun mereka akhirnya lompat meninggalkan BN. Kini kita mesti ambil kembali kawasan ini,” tegasnya kepada UMNO Online.

Haji Osin berharap pengundi Klias memberi peluang kepada BN untuk kembali memimpin dan mengembalikan kestabilan di kawasan tersebut.

Menurutnya, jentera BN di Klias kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh dan terus digerakkan secara optimum dalam tempoh dua hari terakhir sebelum pengundian.

“Jentera telah bergerak, saya sendiri bersiap siaga. Kami bertekad untuk menggerakkan jentera sepenuhnya sehingga ke hari mengundi. Kami bekerja untuk menang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk bahawa tempoh lima tahun sekali untuk memilih wakil rakyat adalah peluang penting yang perlu direbut.

“Saya merayu kepada para pengundi di Klias supaya turun mengundi dan menunaikan tanggungjawab anda. Datanglah dan undilah calon Barisan Nasional, saya, Haji Osin, calon nombor sembilan,” ujarnya.

Haji Osin berkata manifesto BN yang telah dilancarkan menyenaraikan pelbagai perancangan menyeluruh untuk rakyat, dan beliau komited memperjuangkan setiap perkara yang digariskan demi masa depan penduduk Klias.

Jika diberi mandat, beliau berjanji untuk bekerja lebih baik daripada wakil rakyat terdahulu serta sentiasa turun padang bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga.

“Saya anak watan Klias. Jika saya berjaya dalam PRN ini, saya akan lakukan yang terbaik dan lebih baik daripada wakil rakyat sebelum ini. Kita telah menunggu selama lima tahun,” tambahnya.

Bagi kerusi DUN Klias, Haji Osin berdepan saingan Sembilan penjuru. Dalam PRN kali ini BN bertanding di 45 kerusi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO