Sokongan Anak Muda Memuncak,Jentera BN Mantapkan Pecutan Terakhir – Alias Udin

KALABAKAN, 28 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kalabakan, Alias Udin, menyatakan keyakinannya bahawa golongan muda di kawasan itu semakin menunjukkan sokongan kukuh terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian.

Beliau menambah bahawa persiapan akhir jentera parti di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjung Batu, Kukusan, dan Sebatik berada pada tahap terbaik, dengan semua gerak kerja berjalan lancar.

“Alhamdulillah, dalam pecutan terakhir ini, persiapan di ketiga-tiga DUN iaitu Tanjung Batu, Kukusan, dan Sebatik berjalan dengan lancar.

“Kita akan memastikan golongan muda berpihak dan menunaikan tanggungjawab mereka dengan mengundi BN. Anak-anak muda yakin dan percaya bahawa BN merupakan sebuah parti yang mampu membela rakyat, khususnya di Sabah.

“Mereka sebenarnya merindui zaman kegemilangan BN dalam mengurus negeri dan rakyat. Justeru, berilah kepercayaan kepada BN,” katanya kepada UMNO Online.

Pada masa sama, Alias merayu kepada seluruh pengundi muda agar memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan Sabah.

“Saya menyeru pada 29 November ini, agar anak-anak muda yang berada di perantauan pulang dan menunaikan tanggungjawab mengundi bagi menyokong BN demi kemakmuran dan kestabilan Sabah.

Jangan lupa mengundi calon BN bagi DUN Tanjung Batu, Samasudin Yusop; Kukusan, Chaya Sulaiman; dan Sebatik, Aslan Fadli Samsul Alang,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. PRN Sabah diadakan untuk mengisi kekosongan 73 kerusi DUN, dan BN bertanding di 45 kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon muka baharu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO