Perbahasan DUN – Najib Tekankan Lonjakan Infrastruktur Parit Yaani

JOHOR BAHRU, 19 Nov — Pembangunan infrastruktur pesat di Parit Yaani menjadi fokus utama perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, ketika membahaskan Belanjawan Johor 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Beliau pada awal ucapan merafak sembah sempena sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 22 November ini, sambil menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, serta Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Najib berkata Parit Yaani kini sedang menikmati pembangunan yang ketara melalui pelbagai projek baharu dan naik taraf, merangkumi tiga zon utama  Parit Yaani, Tongkang Pechah dan Beroleh hingga Parit Besar.

“Mercu tanda pekan lengkap dengan lampu LED, pembinaan Sekolah Menengah Suria Jaya yang akan dibuka tahun hadapan, masjid baharu yang bakal menjadi ikon, sekolah kebangsaan baharu, naik taraf Persimpangan Tongkang Pechah dan Jalan Bindu serta pembinaan padang awam, dewan orang ramai dan pasar awam baharu adalah antara projek yang sudah siap atau hampir siap,” katanya.

Beliau menyifatkan pembangunan serancak itu jarang berlaku sebelum ini, dan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kawasan luar bandar terus diberi perhatian.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan program Jualan Kasih Johor diadakan lebih kerap iaitu sebulan sekali ataupun dua kali sebulan lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

“Saya percaya, dengan kerjasama FAMA, Jabatan Pertanian, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan agensi berkaitan, Jualan Kasih boleh menjadi program yang bukan sahaja membantu rakyat, tetapi menggerakkan ekonomi tempatan,” ujarnya.

Ujarnya lagi di era digital ini, saluran aduan adalah nadi hubungan antara rakyat dan kerajaan.

“Ramai yang menyuarakan bahawa aduan di Facebook lebih cepat mendapat perhatian berbanding saluran rasmi wakil rakyat atau ketua kampung, dan ini adalah realiti yang perlu kita tangani.

“Sebab itulah saya memohon penjelasan tentang status pembangunan aplikasi Sistem Aduan Rakyat Johor. Bagaimana modulnya, sejauh mana fasa ujiannya, bila pelancarannya, dan bagaimana pemantauan akan dilakukan.

“Apabila sistem ini siap sepenuhnya, saya percaya ia mampu menjadi platform yang lebih telus, cepat dan berkesan dalam menyantuni aduan rakyat,” tambahnya.

Beliau seterusnya menambah program NADI yang diwujudkan oleh MCMC sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat kemajuan komuniti.

Tambahnya selain memberi akses digital kepada masyarakat luar bandar, NADI dilihat mampu berkembang menjadi pusat pembelajaran, pusat latihan kemahiran, malah platform ekonomi kecil-kecilan.

“Jika integrasi dengan Media Digital Johor dapat dilakukan, NADI juga boleh menjadi pusat maklumat kerajaan negeri yang lebih berkesan. Atas sebab itu, saya mencadangkan agar sebuah lagi NADI diwujudkan di kawasan Beroleh bagi memastikan akses digital tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.

“Walau bagaimanapun, program JENDELA menunjukkan perkembangan baik di seluruh negara, masyarakat kita di Parit Yaani masih berdepan dengan liputan rangkaian yang lemah dan tidak stabil. Ini bukan lagi isu kecil kerana banyak perkara kehidupan kini bergantung pada internet khususnya pendidikan, perniagaan dan komunikasi.

“Saya berharap agar fasa baharu JENDELA memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan yang masih terpinggir, termasuk Parit Jambi, Parit Senah serta cadangan menara tambahan di Bandar Putera Indah. Insentif kepada syarikat telekomunikasi juga wajar diberi supaya pemasangan infrastruktur baharu dapat dipercepatkan khususnya di kawasan pinggir bandar,” ujarnya.

Dalam perbahasannya juga, Najib turut menyentuh Kempen Visit Johor 2026  yang dilihat peluang besar untuk mengangkat setiap DUN sebagai destinasi unik dengan identiti tersendiri.

Katanya dengan peruntukan RM100,000 bagi setiap DUN, saya menyokong penuh inisiatif ini kerana ia bukan sahaja mempromosikan potensi tempatan, malah memberi limpahan ekonomi kepada para peniaga, pengusaha kecil dan komuniti setempat malah Parit Yaani juga tidak terkecuali dalam merancang aktiviti pelancongan yang boleh diketengahkan kepada seluruh negeri.

Najib turut menggesa penyelesaian segera bagi kesesakan serius di Jalan Tongkang Pechah (J13), yang menampung trafik berat dari kawasan industri dan menyebabkan aliran trafik perlahan pada hampir setiap waktu.

Dalam pada itu beliau seterusnya menambah pertumbuhan pesat Bandar Putera Indah membawa bersama tanggungjawab baharu dalam aspek keselamatan.

“Pada masa ini, penduduk masih bergantung kepada Balai Bomba Penggaram yang agak jauh, sedangkan kita mempunyai rizab tanah seluas 5 ekar yang boleh diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk pembinaan balai baharu.

“Selain itu, Klinik Kesihatan Parit Yaani juga memerlukan tambahan sebuah ambulan bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat respon kecemasan yang lebih pantas dan berkesan.

“Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa Belanjawan Johor 2026 bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, tetapi turut memacu pemerkasaan ekonomi, memperluas sektor pelancongan, mengangkat agenda digitalisasi, menjaga kesejahteraan masyarakat luar bandar dan memastikan penyampaian kerajaan yang lebih cekap serta telus.

“Dengan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan, saya percaya Johor sedang melangkah ke arah negeri yang lebih progresif menjelang tahun 2030, dengan rakyat sebagai fokus utama setiap perancangan,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO